PH harus hormati hak PAS sebagai pembangkang Posted: 21 Jun 2016 06:15 AM PDT Oleh Abdul Rahman Malik [ULASAN] Pakatan Harapan (PH) mungkin pura-pura lupa bahawa status PAS masih tetap sebuah parti pembangkang yang menentang Umno-BN sebagai parti pemerintah yang dianggapnya tidak pro-kepentingan rakyat. Lantas sebagai sebuah parti politik pembangkang yang berpegang pada ideologi politik Islam dan gaya serta budayanya sendiri – 'politik matang dan sejahtera' -- PAS berhak meletakkan calon di mana-mana kerusi pilihanraya sekalipun. PAS juga bebas menentukan parti mana yang ia harus santuni dalam menentukan halatuju perjuangannya dan boleh memilih sama ada mahu bekerjasama dengan PPH atau tidak. Masalahnya, kegagalan atau kesengajaan PH tidak menghormati status PAS kini dijadikan alasan menuding jari kepada PAS sebagai punca kegagalan wakil PH (dari PAN) dalam dua pilihanraya kecil (PRK) parlimen Sabtu lalu. PKR pula menganggap pembangkang kalah dalam pilihanraya kecil (PRK) Sungai Besar terutamanya, berpunca daripada 'kedegilan' PAS. Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Zuraida Kamaruddin berkata, sikap PAS itu menyebabkan PKR kehilangan peluang menawan kerusi Parlimen Sungai Besar. Sementara PAN pula menyalahkan PAS yang dikatakan enggan mengadakan perbincangan dengan PH bagi menetapkan parti mana yang harus bertanding di kedua-dua PRK berkenaan. "Sehingga lambat kita buat keputusan siapa yang akan mewakili PH kerana nak bagi ruang perundingan dengan PAS. Kalau boleh bincang supaya elak pertandingan 3 penjuru tapi mereka tetap dengan sikap mereka yang degil itu. "Itulah terjadi akhirnya PH jadi lambat semuanya kerana masih bagi ruang kepada PAS mahu melihat situasi sebenar politik negara," dakwa Setiausaha Agung PAN, Anuar Tahir. Zuraida berkata, hasil keputusan pilihanraya kecil berkenaan mungkin tidak akan sama seandainya PAS memberi laluan kepada PKR untuk meneruskan perjuangan pembangkang di Sungai Besar. "Saya terkilan kerana PKR cuba berunding dengan PAS untuk diberi laluan bagi bertanding. PKR telah cuba berunding sehingga saat-saat akhir. "Malangnya PAS tidak beri laluan dan teruskan bertanding. Jadi inilah keputusan yang kita lihat," kata Zuraidah yang juga Ketua Wanita PKR. PAN kalah walau jentera PKR dan DAP dikerah Kenyataan Zuraidah dan Anuar ini dilihat muslihat untuk memberi alasan mengapa walau segala kekuatan jentera pilihanraya PAN, PKR dan DAP dikerah ia masih gagal memenangkan calon PAN di Sungai Besar dan Kuala Kangsar. Sumbangan DAP untuk memenangkan calon PAN itu bukan kepalang. Kempen DAP-PAN seolah-olah 'dipimpin' oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang berikhtiar meyakinkan seberapa ramai pengundi Cina menyokong calon PAN. Sementara PKR pula, menarik semula perintah 'iddah' yang melarang Timbalan Presidennya, Datuk Seri Azmin Ali supaya 'jangan mencampuri' kempen PRK berkenaan demi membuktikan bahawa PKR sebulat suara menyokong PAN. Azmin muncul di saat-saat terakhir kempen kerana 'sibuk' mengiringi Sultan Selangor bertemu rakyat sempena Ramadan al mubarak. Walhal sebelum itu beliau ditegah PKR menyertai upacara penamaan calon 4 Jun lalu. Bagaimanapun DAP bungkam dan kelu membuat sebarang komen mengenai kegagalannya meyakinkan pengundi Cina menokok undi calon PAN. Namun seperti sudah agak sebati di kalangan pemimpin-pemimpin PAN, mereka cuba mencari kekuatan dengan memperkecilkan parti leluhur mereka, PAS. "Kekalahan (adalah) mesej kepada PAS supaya merancang kembali strategi dan ambil iktibar dengan melakukan langkah-langkah yang perlu seperti kembali ke meja rundingan bersama Pakatan Harapan," kata Pengerusi PAN Selangor, Ir Izham Hashim. Beliau menafsirkan kekalahan PAS kerana dilihat PAS tidak mendapat sokongan pengundi bukan Melayu walhal umum tahu bahawa calon PAN mendapat undi lebih berbanding calon PAS di Sungai Besar kerana bantuan mutlak DAP. PAS terus diserang, ditekan Lebih menyedihkan lagi ialah ada pemimpin PAN yang masih berada dalam kotak pemikiran bersalut ego dan dendam terhadap PAS. Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Abdul Samad, misalnya, bersikap demikian. Beliau menyimpulkan bahawa pendekatan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berbaik-baik dengan Umno bagi mendapatkan undi parti itu nyata gagal. Beliau berkata, strategi itu memberi kelebihan kepada BN dalam PRK berkenaan kerana undi Melayu yang diharapkan daripada Umno tidak berpihak kepada PAS. Dakwanya, kempen PAS pada PRK berkenaan yang menyerang PAN dan DAP 'berhasil melindungi kesilapan Umno' seolah-olah parti itu bukan punca masalah yang dihadapi negara. "Oleh kerana masyarakat diberi gambaran Umno itu baik dan DAP itu punca kepada krisis, maka pengundi tidak berganjak dan tetap beri undi kepada Umno," katanya. Pandangan politik herot PAN ini ditebalkan lagi oleh Setiausaha Agungnya, Anuar Tahir, yang mahu PAS memuktamadkan sama ada mahu bekerjasama dengan PH atau terus menjadi 'agen' membantu Umno-BN. Hujahnya, PAS perlu mencari rakan kerjasama dan bukannya bertindak sebagai pemecah undi di kalangan parti pembangkang. "PAS harus meninjau (mengkaji) kembali mereka sudah kehilangan separuh undi yang mereka dapat (dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar), apakah mereka mahu terus bersendirian? "(Atau), (PAS) hanya untuk memecah undi dan bantu kemenangan Umno BN sahaja dan dapat ruang untuk kerjasama dengan kerajaan jadi penasihat, menduduki badan-badan agensi pemerintah, di badan dakwah sahaja,"katanya. Setelah memberi "kata dua" pada PAS, Anuar dilihat cuba bermain politik bila pada masa yang sama cuba melakar imej bahawa PAN sentiasa bersikap terbuka terhadap PAS. "Kita tidak pernah tutup pintu kepada mana-mana (parti) cuma kita pegang ketiga-tiga parti yang ada dalam PH (DAP,PKR dan PAN) harus bersama-sama mengambil keputusan kalau PAS mahu menyertai kita akan bincang. "Kalau sekiranya mereka jujur untuk itu, saya rasa tidak ada sebab untuk tidak menerima mereka. Dari dulu kita bagi ruang sampai jadi lambat pemilihan (untuk bertanding PRK)," ujar Anuar lagi. Bagaimanapun mungkin dipacu oleh pendekatan 'budaya politik matang dan sejahtera', Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberi reaksi yang agak berpada-pada. "Saya tengok ada keperluan (kerjasama). Tidak semestinya gabungan. Saya rasa ada mekanisme lain yang perlu dicari. Saya sebut dulu bahawa di antara mekanisme yang boleh PAS terima ialah sepakat untuk 'satu lawan satu'. "PAS tegaskan setuju 'satu lawan satu' di kedua PRK ini. Tapi bukan prinsip kita terpaksa korbankan kerusi PAS. Itu tidak betul dari segi sepakat. Kita kena hormati hak kerusi yang sedia ada dan parti lain tidak perlu sertai sama. Itu sepatutnya dihormati. "Kalau prinsip itu tidak dihormati maknanya kita bergabung tapi kita terpaksa korbankan kita punya kerusi, saya fikir tidak betul dari segi kaedah kerjasama," katanya. Paling penting prinsip menghormati PAS sebagai sebuah parti politik Pembangkang haruslah dihormati terlebih dahulu. Bukan hak PH untuk 'mengarah' apa yang patut dan tidak boleh dilakukan oleh PAS. |
Musa Hitam: Jika saya PM, pilihan raya tahun depan Posted: 21 Jun 2016 06:06 AM PDT MALAYSIAKINI Berikutan kemenangan besar BN pada dua pilihan raya kecil baru-baru ini, bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam berkata beliau akan mengadakan pilihan raya umum tahun depan sekiranya menjadi perdana menteri.
"Pilihan raya kecil berkembar ini diadakan di tengah-tengah serangan besar (pembangkang) ke atas kerajaan BN dan pemimpinnya. Ini tidak pernah dihadapi oleh BN (dalam pilihan raya sebelumnya). Selain itu, Umno dan BN tidak stabil secara dalaman.
"(Tetapi) Umno masih menang dengan majoriti undi yang tidak dijangka," katanya dipetik sebagai berkata oleh Sin Chew Daily hari ini.
BN memenangi Sungai Besar dengan majoriti 9191 undi dan di Kuala Kangsar dengan majoriti 6969 undi. Musa berkata BN perlu memanfaatkan momentum yang dihasilkan oleh pilihan raya kecil itu dan mengadakan pilihan raya umum tahun depan selepas mendapat sokongan besar.
Beliau juga menyatakan pembangkang kurang bersatu dan kehilangan arah berbanding pilihan raya umum 2013, apabila tiga parti bersatu di bawah Pakatan Rakyat.
Dalam keadaan itu, beliau berkata pembangkang hanya boleh bergantung kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mendekati rakyat kerana pemimpinnya Datuk Seri Anwar Ibrahim berada dalam penjara.
Hasilnya, beliau berkata, strategi ini tidak dapat berfungsi dengan berkesan.
Beliau berkata mesej yang dihantar oleh Mahathir semasa berkempen di Sungai Besar dan Kuala Kangsar adalah terlalu besar untuk diserap pengundi.
"Jika anda tanya kepada saya, saya akan menggesa mereka yang sudah tua tidak terus melibatkan diri dalam politik. Saya juga berasa sedih apabila kita tidak mempunyai pilihan lain selain Najib," katanya.
|
CIMB heret anak Najib ke mahkamah kes kemungkiran bayaran Posted: 21 Jun 2016 05:56 AM PDT Bank CIMB mengheret anak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Mohd Nazifuddin Mohd Najib ke mahkamah kerana kegagalan menjelaskan bayaran yang mana beliau adalah sebagai penjamin sebuah syarikat. Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menetapkan 1 Ogos untuk membuat keputusan sama ada Nazifuddin perlu membayar jumlah penuh sebanyak RM200,000 atau sebaliknya - iaitu jumlah yang terhutang oleh peminjam. CIMB menuntut supaya anak Najib hasil perkahwinan pertamanya itu membayar jumlah wang berkenaan selepas peminjam gagal membuat pembayaran yang dibuat mengikut perjanjian sewa beli. Peguam Nazifuddin bagaimanapun berhujah bahawa CIMB tidak berhak menuntut jumlah penuh sebanyak RM200,000. Ini kerana dalam surat tuntutannya, CIMB memohon RM12,000 dari Nazifuddin, justeru, peguamnya berkata bank itu tidak boleh menuntut jumlah keseluruhan. Mereka mendakwa bahawa perjanjian jaminan yang menyatakan bahawa liabiliti pelanggan hanya terhad kepada apa yang dituntut. Kes itu kini di peringkat rayuan memandangkan Nazifuddin memohon untuk membatalkan kes itu manakala CIMB puala memohon untuk penghakiman terus. Mahkamah Sesyen sebelum ini menolak permohonan rayuan Nazifuddin dan membenarkan penghakiman terus - justeru, melayakkan CIMB untuk menuntut jumlah keseluruhan. Nazifuddin diwakili peguam Justin Voon manakala peguam K Ganesan bertindak bagi pihak CIMB. |
Kami beri RM12 juta kepada polis, ulang keluarga mangsa Posted: 21 Jun 2016 05:48 AM PDT MALAYSIAKINI Keluarga empat bekas tebusan Abu Sayyaf menegaskan bahawa mereka memberikan RM12 juta kepada pihak polis untuk tujuan bayaran tebusan. Penegasan tersebut muncul selepas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan polis telah menerima wang tebusan berkenaan. "Saya masih kekalkan apa yang saya telah katakan sebelum ini yang RM12 juta telah dihantar ke Sandakan melalui bank. "Jika orang ramai ada sebarang keraguan, mereka boleh tanya Hong Leong Bank," kata Lau Cheng Kiong yang merupakan jurucakap keluarga tersebut, memetik laporan oleh The Borneo Post. Lau, bagaimanapun, enggan mengulas lanjut mengenai perkara itu setelah keluarga mahu melupakan hal tersebut dan meneruskan kehidupan mereka. Lau merupakan bapa saudara kepada bekas tebusan bernama Johnny Lau. Mangsa yang lain ialah Wong Teck Kang, Wong Teck Chii dan Wong Hung Shin. |
Kini Muhyidin pula jadi sasaran pembunuhan karektor, kata GKCM Posted: 21 Jun 2016 05:44 AM PDT MALAYSIA DATELINE Tan Sri Muhyidin Yasin Setelah gagal segala usaha untuk mengaitkan Tan Sri Muhyidin Yasin dengan salahlaku atau pensabitan jenayah, teknik pembunuhan karektor pula dihalakan kepada beliau. "Cerita yang dikaitkan dengan TS Muhyiddin tidak masuk akal tetapi sejak Najib menjadi Perdana Menteri banyak perkara yang dilakukannya tidak perlukan akal. Ternyata akal tidak lagi penting apabila wang sudah ditabalkan menjadi raja," kata Presiden Gerakan Ketua Cawangan Umno Malaysia (GKCM), Kamarul Azman dalam satu kenyataan hari ini. Menurutnya terdapat persamaan diantara serangan terhadap TS Muhyiddin dan Tun Mahathir dengan serangan Zionis terhadap penduduk awam Palestin. "Adalah menjadi strategi Zionis untuk menyerang balas dan membunuh ribuan rakyat Palestin sekiranya seorang rakyat atau tentera zionis dibunuh oleh Palestin. Nyata perkara yang sama sedang berlaku di Malaysia apabila musuh Najib seperti Tun Mahathir dan TS Muhyiddin diserang habis habisan, katanya, "Apakah ini petanda bahawa desas desus yang mengatakan pentadbiran Najib mempunyai penasihat zionis adalah benar?," soal beliau. Berikut adalah kenyataan penuh beliau yang diedarkan kepada media. Apabila Ringgit Menjadi Raja, kuasa disalahguna. 1. Ahli-ahli politik sangat terkenal dengan pembunuhan karaktor musuh politik mereka. Ianya dijalankan dengan pelbagai cara termasuklah membawa isu-isu yang sengaja diada-adakan. 2. Dalam cerita yang direka tentang pembunuhan karektor politik ini, cerita yang dicipta itu sebenarnya tidak perlu benar atau diterima akal. Bak kata pepatah Inggeris 'mud sticks'. Apabila seseorang itu dipalit dengan lumpur dan dikait pula dengan tuduhan salahlaku ia pasti akan menyemai bibit-bibit kesangsian terhadap individu yang menjadi sasaran. 3. Dalam strategi pembunuhan karektor ini pasti akan ada mereka yang di belakang tabir. Sudah pasti pulangannya agak lumayan. Kini golongan ini menjadikan tugas mereka sebagai satu mata pencarian. Dalam zaman sekarang menjaja fitnah merupakan satu kerjaya yang menguntungkan. sudah pasti persoalan tentang halal atau haram tidak diambil kira. 4. Sejak kebelakangan ini begitu ramai individu di Malaysia yang mencari 'nafkah' dengan cara begini terutamanya apabila mereka mengetahui bahawa ada pihak yang mempunyai begitu banyak wang ketika ini. 5. Apabila Tan Sri Muhyiddin mengambil langkah berani untuk menongkah arus dalam beberapa isu salahlaku yang mengaitkan Presiden UMNO, beliau sudah pasti tahu bahawa beliau telah meletakkan dirinya dalam bahaya. 6. Tuduhan terbaru terhadap TS Muhyiddin merupakan satu usaha desperate oleh musuh politik utamanya dalam gerakan 'membunuh' TS Muhyiddin. 7. Musuhnya pasti sudah puas menggeledah 'almari' TS Muhyiddin tetapi tidak menjumpai apa-apa. Jadi, apakah yang perlu dilakukan apabila mereka tidak menjumpai sebarang salahlaku di pihak TS Muhyiddin? Jalan paling mudah ialah dengan mencipta isu atau mengada-adakan cerita. 8. Mengapa karektor TS Muhyiddin perlu dibunuh? Seperti Anwar Ibrahim, TS Muhyiddin mempunyai auranya tersendiri. Dalam beberapa pungutan suara yang diadakan, TS Muhyiddin berada di tangga tertinggi berbanding Najib. 9. TS Muhyiddin tidak perlu turun di jalanan mengadakan demonstrasi bagi melonjakkan popularitinya. Majoriti rakyat Malaysia beranggapan bahawa TS Muhyiddin adalah seorang pemimpin jujur yang benar-benar mahu mengembalikan integriti dalam pemerintahan kerajaan dengan menolak amalan rasuah. 10. Yang lebih membimbangkan musuh politik TS Muhyiddin ialah mantan Timbalan Perdana Menteri ini diterima oleh semua pihak, baik dalam UMNO mahupun di pihak pembangkang yang berbilang kaum. 11. Cerita yang dikaitkan dengan TS Muhyiddin tidak masuk akal tetapi sejak Najib menjadi Perdana Menteri banyak perkara yang dilakukannya tidak perlukan akal. Ternyata akal tidak lagi penting apabila wang sudah ditabalkan menjadi raja. 12. Terdapat persamaan diantara serangan terhadap TS Muhyiddin dan Tun Mahathir dengan serangan Zionis terhadap penduduk awam Palestin. Mengapa saya berkata demikian? 13. Adalah menjadi strategi Zionis untuk menyerang balas dan membunuh ribuan rakyat Palestin sekiranya seorang rakyat atau tentera zionis dibunuh oleh Palestin. Nyata perkara yang sama sedang berlaku di Malaysia apabila musuh Najib seperti Tun Mahathir dan TS Muhyiddin diserang habis habisan. Apakah ini petanda bahawa desas desus yang mengatakan pentadbiran Najib mempunyai penasihat zionis adalah benar? 14. Suka atau tidak, ini merupakan permulaan awal serangan habis habisan terhadap TS Muhyiddin dan pemimpin-pemimpin lain. 15. Suka atau tidak, TS Muhyiddin bukanlah karektor yang mudah hendak dihapuskan. |
Pemuda DAP Jelutong luluskan usul agar satu lawan satu dengan BN Posted: 21 Jun 2016 05:40 AM PDT BORHAN AHMAD Pemuda Sosialis DAP Mesyuarat Agung Pemuda DAP bahagian Jelutong, Pulau Pinang meluluskan usul agar Pimpinan Pakatan Harapan dapat mengkaji dan mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan pertandingan 1 dengan 1, bagi mengelakkan peluang dan kesempatan dapat diambil oleh Barisan Nasional. Mereka juga meluluskan usul agar pimpinan DAP Kebangsaan dapat mengadakan perbincangan bersama dengan parti PKR dan Amanah, supaya dapat menubuhkan Kabinet Bayangan untuk menyakinkan rakyat bahawa Pakatan Harapan dapat menerajui pentadbiran di Putrajaya. Di samping itu, mesyuarat itu juga melaluskan usul menggesa supaya Datuk Sri Mohamed Apandi bin Ali, Peguam Negara untuk meletak jawatan akibat kegagalan mengambil tindakan perundangan terhadap skandal-skandal yang menimpa negara Malaysia, terutamanya berhubung dengan isu RM4.2 billion; Mereka juga berharap agar pimpinan DAP kebangsaan dan negeri Pulau Pinang dapat bermula dengan kerja siap-siagaan bagi menghadapi Pilihanraya Umum yang akan datang. Mereka juga menuntut agar Perdana Menteri menjelaskan pertuduhan berhubung dengan RM4.2 billion dengan kadar segera dan menggesa supaya Peguam Negara dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia dapat mengambil tindakan sewajarnya tanpa perasaan takut (without fear or favour). Mereka juga menuntut supaya parti PAS sedar bahawa negara Malaysia merupakan sebuah negara demokrasi berpelembagaan dan sekular. Sebarang usul ataupun cadangan yang menyekat dan bercanggah dengan Perlembagaan Negara tidak patut dibangkitkan. |
Ada pihak cuba mengelirukan kenyataan Mufti Perak, dakwa Zambry Posted: 21 Jun 2016 05:38 AM PDT MALAYSIA DATELINE Datuk Seri Dr Zambry Abd KadirMenteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir hari ini meminta supaya tiada pihak yang membuat kenyataan mengelirukan tentang Ahli Parlimen Kuala Kangsar yang baharu, Datin Mastura Mohd Yazid. Ia susulan kenyataan yang dibuat oleh Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria yang menyatakan bahawa Mastura tidak mempunyai kekangan untuk melaksanakan tanggunjawabnya sebagai wakil rakyat. "Saya harap jangan ada mana-mana pihak yang mengelirukan seolah-oleh Mastura tidak boleh keluar langsung bagi menjalankan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat kerana beliau mempunyai tugasnya sebagai wakil rakyat yang perlu turun ke bawah," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco hari ini seperti dilapor Peraktoday. Tegasnya, beliau turut mendapat penjelasan yang lebih terperinci daripada Mufti tentang Mastura dan Mufti telah mengesahkan bahawa itu adalah penjelasan yang terbaik. "Maknanya dia (Mastura) dibenarkan selagi beliau masih tahu bahawa dalam tempoh empat bulan 10 hari, dia tahu, beliau berada dalam tempoh edah tetapi kerana menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat, beliau perlu turun berjumpa dan menyelesaikam masalah rakyat. "Umpamanya, sekiranya sesebuah kampung menghadapi masalah, beliau perlu turun ke kampung itu untuk menyelesaikan masalah tersebut. Kalau saja-saja beliau nak turun, itu yang tak boleh," tegasnya lagi. Beliau juga berharap dengan penjelasan mufti tersebut, Mastura dapat memulakan tanggungjawabnya sebagai wakil rakyat. |
Terkejut pembunuhan pegawai MP 'ala mafia' Posted: 21 Jun 2016 04:27 AM PDT MALAYASIAKINI Parti Amanah Negara (AMANAH) melahirkan rasa terkejut dan dukacita dengan berita kematian calon PKR bagi pilihan raya negeri Sarawak Bill Kayong yang ditembak mati dalam kereta di Miri hari ini. Menyifatkan perkara itu sebagai "ala mafia", parti itu membangkitkan keadaan negara ini yang menurutnya seperti mudah memiliki senjata api seperti di Amerika Syarikat. "AMANAH mendesak pihak polis agar segera menyiasat dalang kepada pembunuhan ini sehingga ke lubang cacing. Penjenayah tidak boleh dilindungi. "Keselamatan rakyat, ahli-ahli politik dan pejuang-pejuang sosial perlu diberi perhatian," kata setiausaha agungnya Mohd Anuar Tahir ( gambar). Bill Kayong, setiausaha politik kepada anggota parlimen Miri Dr Michael Teoh, ditembak mati di lampu isyarat Jalan Kuala Baram, Miri pagi tadi. Bill dipercayai ditembak daripada jarak dekat menembusi cermin kanan di sebelah pemandu kereta jenis Toyoto Hilux yang dinaikinya dan dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian. Bill dikatakan antara individu dalam PKR yang lantang memperjuangkan hak rakyat pribumi Dayak di utara Sarawak, khususnya berkaitan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR). Dalam kenyataan hari ini, Mohd Anuar berkata, kerajaan perlu mengkaji sedalam-dalamnya isu keselamatan agar kedamaian negara kekal terpelihara. "Walaupun suhu politik sering sahaja meningkat, namun janganlah dibiarkan keganasan berlaku dengan membiarkan kumpulan-kumpulan perkauman melakukan gangguan dan demonstrasi," katanya. Mohd Anuar mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. |
Petua Orang Kampung Rawat Mata Rabun Posted: 21 Jun 2016 04:20 AM PDT Oleh:Nadia Mingguan Wanita
Setiap penyakit pasti ada penawarnya. Jadi tak perlu mengeluh saat nikmat dari sudut fizikal ditarik atau mula 'hilang'. Beberapa petua ini mungkin akan jadi salah satu penawar bagi anda yang ada masalah rabun mata. Jom, semak... 1. Wap nasi Apabila memasak nasi, halakan mata ke arah wap yang keluar dari periuk nasi. Amalkan setiap kali masak nasi. 2. Sawi Rebus secekak sawi dengan 2 gelas air sehingga mendidih dan tutup api. Minum setelah sejuk pada suhu bilik. Amalkan 3 kali seminggu. 3. Lobak merah Boleh makan mentah-mentah atau minum air lobak merah. Amalkan selalu InsyaAllah semakin baik nanti. Lobak merah kaya dengan Betacaotene (pelopor kepada Vitamin A, nutrien yang diperlukan untuk penglihatan), Lycopene (nutrien perlindungan sinaran UV pada mata) dan Lutein (nutrien yang melindungi kerosakan pada radikal mata). Jika anda mengalami masalah penglihatan, disarankan makan lebih banyak lobak merah. 4. Teh Mencegah katarak mata. Teh membantu mengawal pertumbuhan darah baru di belakang mata. Pakar menjelaskan jika terlalu banyak saluran darah di sebalik retina, ini akan menyebabkan kebocoran darah dan cecair yang menjurus kepada bintik buta. 5. Bawang Putih & Bawang Merah Bawang putih dan merah sangat penting dalam pengeluaran Glutation, sejenis sulfur yang bertindak sebagai anti oksidan untuk kanta mata. 6. Kacang Walnut Kacang Walnut mengandungi sumber Omega- 3, Vitamin E dan antioksidan yang tinggi. Nutrien ini amat penting dalam memerangi radang mata. 7. Tomato Tomato juga mengandungi dua nutrien penting untuk mata iaitu lycopene dan lutein. Tomato juga berkesan mencegah kanser mata. 8. Kacang Soya Kacang soya mengandungi antioksidan yang kuat yang dipanggil isoflavon. Antioksidan ini melindungi mata daripada sindrom mata kering. 9. Telur Sebatian sulfur, protein dan cysteine dalam telur membantu melindungi mata daripada pertumbuhan katarak. Makan telur sehari sekali sudah memadai bagi penjagaan mata. 10. Brokoli Brokoli mengaktifkan enzim anti – radang dalam badan untuk menggalakkan detoksifikasi termasuk mencegah keradangan di bahagian belakang mata. |
Dua kes tembak dalam tempoh kurang 4 jam Posted: 21 Jun 2016 04:15 AM PDT SINAR HARIAN Gambar hiasan. KUALA LUMPUR - Tidak sampai empat jam, dua kes tembak berlaku di dua tempat berasingan di dalam negara, masing-masing mengorbankan satu nyawa dan mencederakan dua individu. Kedua-dua kejadian dilapor berlaku di kawasan sibuk dengan pengguna jalan raya iaitu di persimpangan lampu isyarat ketika semua mangsa berada dalam kenderaan masing-masing. Dalam kejadian pertama kira-kira 8.30 pagi tadi di Sarawak, Setiausaha PKR Cawangan Miri, Bill Kayong, 43, ditembak ketika berada di dalam kenderaan pikap Toyota Hilux di persimpangan lampu isyarat di Lutong, Miri. Calon PKR di kawasan Bekenu pada pilihan raya negeri 7 Mei lalu itu meninggal dunia di tempat kejadian. Dilaporkan terdapat kesan tembakan pada cermin tempat duduk pemandu kenderaan pacuan empat roda berkenaan. Mengulas kejadian berkenaan, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihaknya akan menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes berkenaan. Pasukan itu menurutnya akan diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, SAC Dev Kumar M. M Sree Shunmugam. Manakala dalam kejadian kedua kira-kira pukul 12 tengah hari tadi di Selangor, dua lelaki warga tempatan cedera ditembak di persimpangan jalan besar Sunway Batu Caves, ketika sedang menunggu lampu isyarat. Dalam kejadian berkenaan, kedua-dua mangsa yang memandu kenderaan berasingan, masing-masing berusia 30 dan 34 tahun cedera di bahagian pipi dan kepala. Menurut Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad, dua suspek dipercayai terlibat yang mana hanya salah seorang daripada mereka bertindak turun daripada kereta dan melepaskan tembakan ke arah mangsa dari jarak dekat. Suspek kes berkenaan bagaimanapun telah dikenal pasti dan sedang dikesan, katanya yang menambah bahawa motif masih disiasat. –Bernama |
5 kertas siasatan Dr M: Polis tunggu AG Posted: 21 Jun 2016 04:10 AM PDT Polis masih menunggu maklum balas daripada Jabatan Peguam Negara berhubung lima kertas siasatan ke atas bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, beberapa kertas itu telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara manakala sebahagian lagi masih di peringkat perbincangan dengan pegawai-pegawai dari jabatan tersebut.
"Jadi tidak ada keputusan lagi," katanya kepada pemberita di ibu pejabat polis Bukit Aman, hari ini.
Beberapa laporan telah dibuat terhadap bekas perdana menteri itu berhubung kenyataan beliau dan tulisan dalam blognya yang antara lain menuntut peletakan jawatan oleh Datuk Seri Najib Abdul Razak selaku perdana menteri.
Pada pertengahan bulan April yang lalu, Khalid memberitahu polis telah membuka empat kertas siasatan terhadap Mahathir dan sudah dihantar kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan susulan.
"Dalam kes-kes tertentu, ucapan Dr Mahathir boleh dianggap melampaui batas kerana mengancam keselamatan dan menuduh seolah-olah tiada lagi demokrasi berparlimen di Malaysia," kata Khalid lagi.
Baru-baru ini, pakatan NGO pro BN dan Gabungan Akar Umbi Umno Malaysia (GAUM) turut membuat laporan polis terhadap Mahathir kerana dikatakan mendakwa bahawa ahli Umno boleh dibeli.
Presidennya, Zulkarnain Mahdar mendakwa bahawa tuduhan seperti itu adalah menjengkelkan dan berniat jahat kerana sebagai ahli Umno, mereka hanya menunjukkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada parti.
Pada awal bulan ini pula, pihak polis menyiasat Mahathir susulan kenyataan beliau bahawa Yang di-Pertuan Agong mungkin berada dalam "tahanan rumah" dengan sejumlah 37 soalan diajukan, kebanyakannya berkaitan Deklarasi Rakyat bagi menuntut pengunduran Najib.
Peguam Mahathir, Ahmad Bazlan Che Kasim memberitahu, percakapan Mahathir dirakam bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan berkaitan fitnah dirakam. |
PKR: Segera siasat kes tembak Bill Kayong Posted: 21 Jun 2016 04:01 AM PDT
SHAH ALAM – Berita menyedihkan mengenai kematian calon PKR bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, Bill Kayong yang maut ditembak dalam satu kejadian jam 9 pagi tadi sememangnya mengejutnya banyak pihak.
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali turut meluahkan rasa sedih beliau dan memanjangkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa menerusi kemas kini status di laman sosial Facebooknya hari ini.
"Mendiang dikenali sebagai penggerak sosial dan aktivis hak tanah adat telah dilaporkan mati ditembak di lampu isyarat di Kuala Baram pada 9 pagi ini sewaktu memandu kenderaan dengan logo parti," katanya.
Selain itu, Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor turut menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar dapat menjalankan siasatan segera berhubung kes tersebut bagi membolehkan individu bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan.
Di samping itu, Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah turut mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan kejam ke atas Bill.
"Amat mengejutkan. Amat menyedihkan. Saya ucap takziah kepada ahli keluarganya dan saya kutuk sekeras-kerasnya perbuatan durjana menembaknya itu,"tulisnya menerusi kemas kini status di laman Facebooknya hari ini.
Bill sebelum ini bertanding di kerusi Bekenu pada PRN Sarawak lalu namun kalah kepada calon BN, Rosey Yunus.
Selain itu, Bill juga merupakan setiausaha politik kepada ahli Parlimen Miri Dr Michael Teo Yu Keng.
|
Gesa Mueller minta maaf, dakwa bekas pekerja 'tidur' Posted: 21 Jun 2016 03:54 AM PDT GEORGETOWN - Ketua Pegawai Eksekutif Penerbangan Malaysia (MAS), Christopher Mueller digesa meminta maaf di atas dakwaan 6,000 kakitangan syarikat penerbangan itu yang diberhentikan kerja kerana sering tidur dalam waktu bekerja. Naib Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang, Jasmin Noordin berkata, kenyataan Mueller sebelum ini melampau dan seolah-olah tidak memahami budaya kerja di negara ini. Beliau yang juga Ketua Pemuda Umno Bahagian Jelutong berkata,kenyataan Mueller itu mengguris hati ramai pihak terutama mereka dan keluarga bekas pekerja MAS yang telah diberhentikan kerja sebelum ini. "Muller tak sepatutnya bercakap begitu tanpa beliau mengetahui hakikat sebenarnya.Ini menyebabkan beliau mengeluarkan kenyataan yang jauh tersasar dari hakikat yang sebenar. "Memang ada benarnya dakwaan Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) bahawa Mueller adalah orang luar dan beliau tidak faham budaya kerja setempat," katanya menerusi satu kenyataan di sini. Mueller didakwa sebelum ini berkata, penamatan khidmat kira-kira 6,000 kakitangan syarikat penerbangan berkenaan kerana tidak mempunyai sebarang kerja dan tidur ketika waktu kerja. [ARTIKEL BERKAITAN: CEO MAS disifatkan sebagai egoistik] Dalam pada itu, Jasmin turut menasihati Mueller agar mengambil tahu tentang budaya kerja masyarakat di negara ini supaya tidak membuat sebarang kenyataan yang menyimpang dari kebenaran. "Mungkin disebabkan terlalu ego untuk ambil tahu keadaan dan budaya kerja warga MAS menyebabkan beliau saya lihat gagal untuk menjadikan syarikat penerbangan itu lebih baik dan berdaya saing. "Saya juga sarankan kepada kerajaan agar memilih pengarah urusan MAS di kalangan rakyat tempatan selepas peletakan jawatan Muller pada September ini. "Saya yakin, ramai anak tempatan yang mempunyai kepakaran dan kebolehan untuk menerajui MAS untuk masa depan yang lebih baik dan cemerlang," katanya. |
‘Sebelum BN ambil alih Selangor, jadi pembangkang cekap’ Posted: 20 Jun 2016 08:45 PM PDT Adun DAP berkata tindak-tanduk BN sebagai pembangkang di Selangor menunjukkan budaya politik Umno yang masih ketinggalan zaman.
PETALING JAYA: Seorang ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor dari DAP hari ini menasihatkan Barisan Nasional (BN) berusaha menjadi pembangkang yang kredibel sebelum bercita-cita mahu mengambil alih negeri itu pada pilihan raya umum akan datang. Adun Kampung Tunku, Lau Weng San berkata BN masih tidak melantik seorang ketua pembangkang DUN negeri itu, di samping enggan menerima peruntukan kerajaan negeri dan memulau Jawatankuasa Kira-Kira Awam (PAC). "Sekiranya mereka masih gagal mengisi kekosongan tersebut, maka ini hanya sekali lagi membuktikan bahawa BN dan Umno masih belum bersedia mengambil alih kerajaan Selangor dan segala hujah berkaitan dengan perkara ini hanya omong-omong kosong semata-mata," kata Lau, mengulas keyakinan di kalangan pemimpin BN mengenai peluang mengambil alih Selangor selepas kemenangan besar di Sungai Besar, Sabtu lepas. Selangor jatuh ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum 2008, dan diperintah kerajaan campuran PKR, DAP dan PAS. Pada 2014, Datuk Mohd Shamsudin Lias meletak jawatan ketua pembangkang DUN Selangor selepas enggan memegang jawatan pengerusi PAC yang ditetapkan bagi seorang ketua pembangkang. Lau berkata tindak-tanduk BN di Selangor menunjukkan budaya politik Umno "yang masih ketinggalan zaman". "Pembangkang BN Selangor tidak ingin menerima tawaran ini kerana dipercayai ianya akan memberi tekanan kepada kerajaan persekutuan BN kerana kerajaan BN tidak memperuntukkan jawatan pengerusi PAC Parlimen untuk dipegang oleh Ketua Pembangkang Dewan Rakyat biarpun ianya jawatan yang diiktiraf Dewan Rakyat," kata beliau. Beliau turut mengkritik ahli Parlimen Sungai Besar yang baharu, Budiman Mohd Zohdi kerana enggan menyatakan sama ada akan menerima peruntukan negeri. "Bukankah baik kalau beliau menerima tawaran ini dan membantu rakyat di kawasannya yang memerlukan bantuan? "Atau beliau lebih rela mengambil arahan daripada pimpinan parti sehingga sanggup menggadaikan kepentingan pengundi-pengundinya?" |
Lagi beg dipercayai dari MH370 dijumpai Posted: 20 Jun 2016 08:33 PM PDT Ia dijumpai di kawasan sama beberapa barangan peribadi dijumpai sebelum ini, kemungkinan berasal dari pesawat malang itu
PETALING JAYA: Seorang warga Amerika Syarikat yang giat dalam pencarian penerbangan MH370 berkata beliau menemui beberapa barangan peribadi termasuk beg dipercayai ada kaitan dengan pesawat Malaysia Airlines yang hilang sejak Mac 2014 itu. NBC News melaporkan Blaine Gibson, 56 dari Seattle, AS membuat penemuan itu di pantai sepanjang 17km di pulau Nosy Boraha, Madagascar, kawasan sama beberapa barangan dipercayai dari penerbangan malang itu dijumpai awal bulan ini. Antara barangan itu termasuk sebuah sarung kamera, bagasi dan beberapa beg lain. Mac lalu, Gibson menyerahkan objek berukuran 57 X 90 sentimeter bewarna kelabu kepada pihak berkuasa Mozambique, selepas menemuinya di Vilankulo, Pulau Benguerra. Penyiasat AS, Malaysia dan Australia mengandaikan ia mungkin "horizontal stabiliser" dari pesawat Boeing 777, bagaimanapun ia belum disahkan milik MH370. Pada Julai tahun lalu, Malaysia mengesahkan bahagian sayap atau flaperon yang ditemui di Pulau Reunion, Madagascar berasal dari MH370. Pesawat MH370 hilang bersama 239 penumpang dan anak kapal sewaktu dalam penerbangan ke Beijing dari Kuala Lumpur pada 8 Mac 2014. |
Selangor catat pelaburan sektor pembuatan RM7.96 bilion Posted: 20 Jun 2016 08:18 PM PDT MALAYSIA DATELINE Himpunan bulanan penjawat awam bersama MB Azmin Ali Selangor terus cemerlang menarik minat pelabur asing dalam pelbagai sektor, berdasarkan statistik dikeluarkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA). Menteri Besar, Dato' Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Selangor mencatatkan kedudukan di tangga kedua dalam pelaburan sektor perkhidmatan dengan nilai pelaburan RM2.36 bilion. Menurutnya, Selangor juga berjaya menduduki tempat ketiga dalam pelaburan sektor pembuatan dengan jumlah pelaburan bernilai RM7.96 bilion. "Lawatan kerja bersama Invest Selangor ke Jepun bulan lalu menarik Toyota Motor Corp untuk membawa masuk pelaburan baru bernilai RM2 bilion bagi membina kilang di Bukit Raja, Klang. "Ini merupakan pelaburan terbesar UMW Toyota Motor Sdn Bhd mengeluarkan 50,000 unit kereta setahun bagi permintaan global," katanya dipetik laporan Selangorkini. Beliau berkata demikian di Majlis Rapat Ramadan Bersama Perkhidmatan Awam Selangor di SUK hari ini. Sementara itu, Mohamed Azmin berkata, Yusen Logistics Company Limited menerusi Tasco Berhad pula akan membangunkan kemudahan gudang bertingkat di Seksyen 22, Shah Alam dan di Westport, Pelabuhan Klang dengan pelaburan sebanyak RM 400 juta. "Sony Corporation akan membangunkan sebuah Pusat R&D di Bangi untuk menempatkan lebih 700 jurutera dan tenaga kerja profesional dengan jumlah pelaburan awal sebanyak RM 40 juta," katanya. |
Jangan kecewa dengan keputusan PRK, kata Hadi Posted: 20 Jun 2016 08:06 PM PDT Abdul Hadi Awang
SHAH ALAM - Pas mengingatkan penyokongnya agar tidak sesekali kecewa dengan keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata demikian meskipun ahli parti Islam itu menurutnya dikecewakan oleh majoriti pengundi yang tidak memberi kemenangan kepada Pas.
"Apa yang disabdakan oleh Rasulullah SAW, kalangan yang mewarisinya dalam menegakkan Islam akan dikecewakan merupakan dalil kenabian yang benar-benar berlaku selepas wafatnya Baginda dan menjadikan kita lebih yakin kepada perjuangan ini," katanya dalam satu kenyataan.
Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, walaupun ALLAH SWT berkuasa dan boleh memenangkan perjuangan Islam yang sebenar dalam sekelip mata dengan firmanNYA sahaja, tetapi katanya, ALLAH menetapkan bahawa fitrahNYA sangat memakan masa dan melibatkan pengorbanan harta dan jiwa raga.
"Kerana ALLAH mahukan kemenangan daripada hambaNYA yang mempunyai niat yang sangat murni, sehinggalah murni juga pengisiannya selepas kemenangan itu," katanya.
Katanya lagi, ALLAH menunjukkan kisah daripada al-Quran betapa Nabi Nuh AS yang berdakwah memakan masa lebih sembilan ratus tahun, hanya berhasil mengumpulkan pengikut yang sangat kecil jumlahnya, sehingga dikatakan tidak sampai seratus orang dalam bahteranya.
"Ada pun Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS pula wafat dalam perjalanan ke bumi yang dijanjikan ALLAH dapat menegakkan ajaran Taurat, mereka wafat ketika dikecewakan oleh kaumnya yang tidak mahu berjihad, sehingga tidak sempat menyaksikan negara besar yang dipimpin oleh Nabi Daud AS dan Nabi Sulaiman AS setelah ia melalui beberapa abad lamanya.
"ALLAH membawa kisah-kisah umat terdahulu di dalam al-Quran yang menjadi petunjuk di sepanjang zaman.
"Maka Rasulullah SAW menegaskan bahawa di zaman mutakhir yang tidak ada lagi Rasul, maka adanya kumpulan di kalangan umatnya yang menyambung perjuangan yang tidak boleh dipadamkan cahayanya walaupun dikecewakan oleh manusia yang ramai,atau ditentang oleh musuh paling zalim," katanya.
|
Polisi MAS benarkan kami tidur, kata kakitangan diberhentikan Posted: 20 Jun 2016 08:01 PM PDT Beberapa kakitangan Malaysia Airlines Bhd (MAS) yang telah diberhentikan mengingatkan ketua pegawai ksekutif syarikat penerbangan itu,Christoph Mueller bahawa polisi syarikat membenarkan anak kapal dan kakitangan teknikal dalam penerbangan jarak jauh berehat. Menurut mereka, polisi yang sama diguna-pakai oleh syarikat penerbangan di seluruh dunia. Peraturan itu ditetapkan mengikut undang-undang antarabangsa penerbangan, berikutan kemalangan yang disebabkan oleh faktor manusia, kata bekas jurutera MAS, Zul Fadly. Zul berkata dia pernah bekerja selama 12 jam dalam rutin hariannya dan kadang-kadang apabila terpaksa bekerja selama 18 jam, dia akan diberikan cuti enam jam. Secara khusus, katanya, dia dan jurutera lain dibenarkan tidur semasa rehat dan sebuah bilik khas diperuntukkan bagi maksud itu. Zul mengulas kenyataan bekas bosnya, Mueller, yang dalam satu temu bual baru-baru ini berkata beliau terpaksa memberhentikan 6,000 pekerja kerana sebahagian besar mereka tidak melakukan apa-apa, bahkan ada yang tidur. "Ramai di kalangan 20,000 kakitangan yang bekerja untuk syarikat itu tidak mempunyai apa-apa untuk dilakukan. "Malah, ketika saya berjalan di hangar, ada pekerja yang tidur. Sebab itu, saya terpaksa radikal mengurangkan 6,000 pekerjaan," kongsi Muller kepada stesen penyiar Jerman, Deutsche Welle (DW) menerisi portal webnya. Sehubungan itu, Zul menuntut Mueller untuk membetulkan kenyataannya supaya orang ramai tidak akan berfikir bahawa mereka yang kehilangan pekerjaan kerana sedang tidur. Zul, yang kini bekerja sebagai pemandu Uber, berkata kenyataan seperti itu boleh memberi kesan kepada bekas kakitangan MAS yang sesetengah daripada mereka masih belum mendapat pekerjaan selepas diberhentikan. |
Calon PKR ditembak mati di Miri Posted: 20 Jun 2016 07:57 PM PDT Calon PKR bagi pilihan raya negeri Sarawak, Bill Kayong ditembak mati di Miri pagi tadi. Bill bertanding di kerusi Bekenu pada pilihan raya 7 Mei lalu tetapi kalah kepada calon BN Rosey Yunus. Menurut PKR dalam satu kenyataan pagi ini, beliau ditembak mati di lampu isyarat Jalan Kuala Baram berhampiran sebuah pasar raya Emart One-Stop kira-kira jam 9 pagi tadi. Bill yang juga adalah setiausaha PKR Miri dipercayai ditembak dari jarak dekat menembusi cermin kanan di sebelah pemandu kereta jenis Toyoto Hilux yang dinaikinya. Mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan yang dialaminya. Bill dikatakan antara individu dalam PKR yang lantang memperjuangkan hak rakyat pribumi Dayak di utara Sarawak, khususnya berkaitan Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR). |
Taring PAS Tak Tercabut Walaupun Hilang 18846 Undi Posted: 20 Jun 2016 07:52 PM PDT Oleh DATO'HJ MAHFUZ HJ OMAR1. Dua PRK Sg Besar dan Kuala Kangsar telah berlalu dengan *kemenangan berpehak kepada BN dan kekalahan kekal milik pembangkang Blok ketiga (Pas) dan Pakatan Harapan (Amanah)*. Saya mengucapkan tahniah kepada semua parti dan calon yang menyertai PRK kali ini dengan pencapaian undi yang diperolehi. 2. Apa yang dapat saya perhatikan kali ini ialah perubahan strategi Umno BN yang tidak lagi menghalakan serangannya kepada musuh tradisinya iaitu Pas. Perubahan strategi ini adalah disebabkan perubahan politik pembangkang di mana *Pas tidak lagi berada dalam mainsterim blok pembangkang* malah dilihat Pas bertembung dengan mainsterim pembangkang. 3. Perkiraan Umno Bn ialah, tak perlu mereka menyerang Pas kerana Pas tiada peluang untuk mendapat undi bukan Melayu. Apa yang dilakukan Umno Bn ialah melakukan *kepongan terhadap undi Melayu jangan beralih ke Pas atau Amanah.* Pendekatan politik matang Pas yang tidak menyerang Umno Bn masih belum dapat mengalih pengundi Umno yang sedang dilanda krisis ke dalam peti undi Pas. 4. Keputusan 2 PRK menunjukan *Pas memperolehi undi hampir sama seperti PRU11 pada tahun 2004* di mana PRU11, pengundi bukan Melayu memehak pada BN. *Pas hanya memperolehi undi tegar.* Jumlah undi yang di perolehi Pas pada *PRU11 (2004) Sg Besar 7,988 dan K.Kangsar 5,748*. Dan inilah yang juga yang diperolehi pada 2 PRK malah berkurangan, *undi Sg Besar 6,902 dan K.Kangsar 5,684 berbanding pencapaian 2004*. 5. Pas juga kehilangan undi 11,394 di Sg Besar dan 7,452 di Kuala Kangsar berbanding undi yang diperolehi pada PRU13 yang lalu. *Namun taring Pas tetap kuat tidak tercabut.* 6. Apa akan terjadi pada PRU14 nanti sudah boleh dilihat pada corak 2 PRK yang baru berlalu. Adakah jumlah undi yang diperolehi Amanah boleh membantu mereka mencaturkan strategi politik bagi menghadapi PRU14 terserahlah pada parti Amanah dan PH menganalisanya. Yang penting *taring Pas tidak tercabut walaupun kehilangan 18,846 undi di 2 PRK*. KETUK KETUK RAMADZAN, ALHAMDULILLAH. #UndurNajib#LawanTetapLawan#TerusBerjuang#SelamatkanMalaysia- DATO'HJ MAHFUZ HJ OMAR,PEMERHATI POLITIK JALANAN |
Dakwaan politik wang, Tun M sudah habis modal Posted: 20 Jun 2016 07:46 PM PDT Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto EPA PUTRAJAYA - "Tun Mahathir (Mohamad) sudah kehilangan modal," demikian reaksi Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Ab Aziz Kaprawi mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri itu dalam catatan di blognya, 'Pendirian Saya'. Mahathir mendakwa, kemenangan luar biasa BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar jelas dihasilkan dari pemberian wang dan barang-barang kepada pengundi. Menurut Ab Aziz yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan, apa yang disampaikan Mahathir sudah tidak dengar oleh rakyat. "Pada saya beliau sudah tidak relevan. Dengan Deklarasi Rakyat, (kemudian) turun sendiri ke bawah...pun rakyat tidak lagi dengar atau menyambut apa yang disampaikannya. "Rakyat lihat kepimpinan hari ini sudah bekerja keras untuk rakyat. Yang penting rakyat melihat Datuk Seri Najib Razak (Perdana Menteri) berjaya urus kehidupan rakyat dalam keadaan sangat baik dan rakyat lihat gerak kerja," katanya pada sidang media selepas majlis berbuka puasa bersamanya di sini. Dalam pada itu, mengulas soal cadangan agar Pilihan Raya Umum ke-14 yang dijangka diadakan pada 2018 itu dipercepatkan susulan kemenangan besar BN itu, Ab Aziz akui segala kemungkinan boleh berlaku. "Daripada kedua-kedua PRK ini terbukti BN lebih bersedia daripada pembangkang. Saya tak tolak kemungkinan untuk PRU lebih awal. Kalau sepatutnya 2018 kemungkinan 2017," katanya. |
Dituduh khalwat: Pengerusi MyWatch lapor polis terhadap pengguna Twitter Posted: 20 Jun 2016 04:07 PM PDT Sanjeevan menjanjikan tindakan undang-undang terhadap mereka yang menuduhnya
PETALING JAYA: Pengerusi MyWatch membuat laporan polis terhadap seorang pengguna Twitter yang mendakwa beliau ditahan polis dalam serbuan khalwat di sebuah hotel di Seremban. Mengesahkan laporan itu hari ini, Sri Sanjeevan Ramakrishnan berkata beliau baru sahaja selesai membuat laporan polis. "Tindakan undang-undang akan menyusul," tulisnya di Twitter. Dalam laporan polis yang dilihat FMT malam tadi, Sanjeevan berkata satu twit bertarikh 10 Jun oleh seorang pengguna @mamifoo berkata: "Pengerusi MyWatch @SanjeevanSSS ditangkap khalwat dengan seorang pegawai polis di Seremban. Pencegah jenayah konon!!!" "Saya ingin menegaskan bahawa kenyataan tersebut adalah fitnah semata-mata dan saya tidak pernah ditangkap untuk apa-apa kegiatan yang didakwa seperti diatas," kata Sanjeevan dalam laporannya. "Tujuan saya membuat laporan ini kerana saya percaya penama diatas membuat fitnah dan tohmahan ini untuk menjatuhkan nama baik dan reputasi saya serta keluarga saya." Pada malam kemudiannya, Sanjeevan menepis twit daripada @mamifoo, yang menulis: "Kutuk polis merata, tapi sekarang buat laporan kat polis juga." Menjawab twit itu, Sanjeevan meminta @mamifoo supaya "jadi anak jantan" dan dedahkan identiti. Bekas anggota PKR itu sebelum ini menafikan khabar angin dia bertemu seorang anggota polis wanita seperti yang didakwa dalam satu pesanan ringkas yang menjadi viral. Star Online melaporkan Sanjeevan dan seorang inspektor wanita daripada Jempol ditemui dalam dua bilik yang bersambung di sebuah hotel di Seremban oleh pasukan serbuan khalwat. |