WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI |
- SIASATAN 1MDB: SWITZERLAND TEMUI KES SALAH LAKU LIBATKAN DANA RM4 BILION
- Potong biasiswa tapi biarkan skandal rasuah berleluasa
- UMNO berebut kuasa, rakyat Kedah diabai
- RAKYAT PRO MUKHRIZ BERHIMPUN TOLAK MB KEDAH BAHARU
- MENGAPA PEGUAM NEGARA SEKAT SPRM DAPATKAN PENYATA RM2.6 B?
- Keputusan Apandi bebas Najib, apa pendirian Hadi?
- MENGAPA TIDAK UBAHSUAI BAJET RM8.5 BILION JPM – AMANAH
- Peguam Negara tiada kuasa tutup kes –Gobind Singh
- KES RASUAH SCORPENE AKHIRNYA MASUK MAHKAMAH PERANCIS
SIASATAN 1MDB: SWITZERLAND TEMUI KES SALAH LAKU LIBATKAN DANA RM4 BILION Posted: 29 Jan 2016 09:12 PM PST Siasatan 1MDB: Switzerland temui kes salah laku libatkan dana RM4 bilionPihak berkuasa di Switzerland yang menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mendapati kira-kira AS$4 bilion (RM16.8 bilion) daripada syarikat Malaysia disalahgunakan, dengan sebahagiannya dipindahkan ke beberapa bank Swiss oleh pegawai dari Malaysia dan Emiriyah Arab Bersatu, lapor The Wall Street Journal (WSJ) Pejabat Peguam Negara Switzerland berkata ia menemui 4 kes salah laku jenayah antara 2009 dan 2013 "menggunakan struktur kewangan yang kompleks". "Jumlah yang disyaki disalahgunakan ialah kira-kira AS$4 bilion," kata akhbar itu memetik Pejabat Peguam Negara Switzerland sebagai berkata. "Tujuan sebenarnya kini menjadi subjek untuk siasatan lanjut." Peguam Negara Switzerland Michael Lauber berkata beliau bimbang dengan keputusan Malaysia untuk menghentikan siasatan terhadap pindahan wang AS$681 juta ke dalam akaun bank peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kerana langkah itu akan menjejaskan siasatan Switzerland terhadap syarikat milik Kementerian Kewangan yang bermasalah itu. "Kami sangat bimbang," kata Lauber dipetik WSJ. "Kami sudah menemui bukti menunjukkan pindahan wang yang mencurigakan, berkait dengan 1MDB menerusi institusi kewangan Switzerland, dan kami percaya amat penting ia dikongsi dengan pihak berkuasa Malaysia." Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali pada Selasa berkata "bukti tidak mencukupi" untuk mendakwa Najib kerana menerima AS$681 juta daripada keluarga diraja Saudi. "Berdasarkan kepada fakta dan bukti, tiada kesalahan jenayah dilakukan perdana menteri berhubung 3 kertas siasatan," kata Apandi, selepas berbulan-bulan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan. "Maka dengan ini saya arah SPRM menutup kertas siasatan," katanya. WSJ juga memetik jurucakap kepada peguam negara Switzerland sebagai berkata siasatan tidak sepatutnya ditutup kerana wujud "penipuan yang besar sedang berlaku". "Tanpa bantuan dari Malaysia, siasatan kami di Switzerland berdepan risiko menemui jalan mati," katanya kepada akhbar itu. |
Potong biasiswa tapi biarkan skandal rasuah berleluasa Posted: 29 Jan 2016 05:11 PM PST 30 Januari 2016KUALA LUMPUR 29 JAN: Rakyat Malaysia tidak dapat menerima pemotongan peruntukan program biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ketika gejala rasuah dan skandal kewangan pemimpin utama kerajaan menjadi-jadi. Sepatutnya, Jurucakap Parlimen DAP untuk Pendidikan, Sains dan Teknologi, Zairil Khir Johari , berkata Kerajaan UMNO BN mengurangkan ketirisan dan skandal kewangan, bukannya memotong peruntukan empat program biasiswa JPA antara 20 hingga 60 peratus. "Berpuluh-puluh bilion ringgit dibazirkan melalui skandal kewangan seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Zon Bebas Pelabuhan Klang, Forex Bank Negara dan lain-lain. "Mengikut laporan badan pemerhati kewangan, Global Financial Integrity terbitan bulan lalu, Malaysia kehilangan USD48.25 bilion pada 2013 melalui aliran keluar wang haram berpunca dari pengelakan cukai, jenayah, rasuah dan aktiviti haram lain. "Dengan memperkenal dasar perolehan lebih telus seperti tender terbuka, merombak monopoli tidak kompetitif dan mengurangkan amalan mencari sewa, simpanan kira-kira RM30 bilion atau lebih 10 peratus Bajet 2016 boleh dicapai," katanya. Beliau mengulas pemotongan peruntukan 20 hingga 60 peratus bagi empat program biasiswa iaitu program Biasiswa Nasional, program Khas Kejuruteraan, program Lepasan Bursari dan program Ijazah Pertama dalam Negara yang dibentang Perdana Menteri, semalam. Program Biasiswa Nasional untuk pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) terbaik dipotong daripada 50 kepada 20 orang, pemotongan 60 peratus dan program Khas Kejuruteraan dari 300 kepada 200 orang, iaitu pemotongan 33 peratus. Selain itu, lebih 250 pelajar program Lepasan Bursari dan lebih 2,000 pelajar program Ijazah Pertama Dalam Negara akan 'dikorbankan' kerana peruntukan dikurangkan, masing-masing mengalami pemotongan antara 25 peratus dan 21 peratus. "DAP mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kerajaan memotong peruntukan biasiswa kerana ia mengorbankan masa depan anak muda. "Apabila RM500 juta boleh dibayar sebagai 'komisen' bagi pembelian kapal selam dan RM250 juta pinjaman mudah diberi atas dasar kronisme, ia mempersenda lebih 2,000 anak muda dengan potensi besar yang bekerja keras tapi dinafi peluang melanjutkan pelajaran," katanya. Selain mengurangkan amalan ketirisan dan skandal kewangan, Ahli Parlimen Bukit Bendera itu berkata, banyak program boleh dimansuh antaranya Jabatan Hal Ehwal Khas, Biro Tatanegara (BTN), TalentCorp dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). -Roketkini.com |
UMNO berebut kuasa, rakyat Kedah diabai Posted: 29 Jan 2016 05:07 PM PST BUKIT MERTAJAM 29 JAN: UMNO khususnya di Kedah digesa supaya berhenti berlegar dalam lingkungan 'siapa harus ditampuk kuasa' ketika rakyat terpaksa berhadapan dengan keparahan ekonomi global mahupun tempatan. Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong kesal kerana UMNO hanya peduli soal kuasa sedangkan rakyat negara ini terpaksa menyesuaikan diri dengan suasana ekonomi dunia yang tidak menentu untuk tahun-tahun berikutnya. "Kedah dan semua rakyat Malaysia sedang bersedia menghadapi tahun yang mencabar. Ramai bimbang isu kerja, apatah lagi selepas menteri mengakui pemberhentian tetap berlaku hingga 2017. "Peningkatan kos sara hidup, penyusutan keuntungan kerajaan ekoran kejatuhan harga minyak, pengurangan perbelanjaan kerajaan serta cukai baru adalah faktor cabaran ekonomi mega untuk setiap rakyat. "Namun, di tengah-tengah cabaran itu. UMNO hanya tahu tentang perebutan kuasa," katanya mengulas peristiwa kehadiran tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) ke mesyuarat mingguan yang dipengerusi Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir Rabu lalu. Memetik artikel 41 Undang-undang Tubuh Negeri Kedah, Steven Sim berkata, mesyuarat Exco memerlukan sekurang-kurangnya kehadiran empat Exco selain anggota yang mempengerusikannya untuk membenarkan sesuatu mesyuarat itu berlangsung. "Perkembangan itu menunjukkan krisis Menteri Besar di Kedah semakin parah. Dengan kelumpuhan Exco, cabang eksekutif di negeri itu tidak dapat berfungsi langsung. Dengan kata lain, tidak ada lagi pentadbiran di negeri itu," katanya. Menegaskan pertelingkahan dalaman parti itu pasti akan membahayakan Kedah, Steven Sim menggesa Mukhriz dan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak bertindak segera bagi memperbaiki situasi di negeri itu, sekaligus mengembalikan keadaan sedia kala. Suasana politik di Kedah meruncing sejak minggu lalu apabila barisan kepimpinan UMNO negeri itu secara terbuka menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah. -Roketkini.com |
RAKYAT PRO MUKHRIZ BERHIMPUN TOLAK MB KEDAH BAHARU Posted: 29 Jan 2016 03:49 AM PST Rakyat pro Mukhriz berhimpun tolak MB Kedah baharuRakyat Kedah mengadakan perhimpunan kecil secara aman di hadapan pejabat bakal menteri besar baharu Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah pada ketika spekulasi pihak Istana sudah memberi perkenan mengadakan majlis angkat sumpah Isnin ini. Penduduk yang datang dari beberapa daerah sekitar Kedah membawa sepanduk dan kain rentang menolak Bashah dan menyokong kepimpinan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang sedang didesak berundur. Seorang penduduk dari Pokok Sena, Ramli Abdul Rahman, 54, yang ditemui di perkarangan pejabat Bashah berkata, kumpulan itu tidak selesa dengan kemelut politik yang sedang berlaku di negeri Kedah. "Kami tidak selesa dengan kemelut politik melanda Kedah. "Pentadbiran sedia ada sudah baik dan tidak ada masalah, mengapa mahu menukar menteri besar secara tiba-tiba?" kata Ramli mempersoalkan usaha kumpulan tertentu yang mendesak Mukhriz melepaskan jawatan sebagai menteri besar. Beliau menafikan ditaja atau mewakili mana-mana parti politik untuk hadir membuat bantahan di depan pejabat Bashah dan menyifatkan Mukhriz sebagai menteri besar yang mesra dengan rakyat serta mudah didekati. "Berbanding dengan menteri besar sebelum ini, rakyat mudah bertemu Mukhriz dan selesa mendekati beliau. "Pentadbiran Mukhriz tidak ada birokrasi, bila rakyat mahu jumpa mereka mudah bertemu bagi mendapatkan bantuan dan berkongsi masalah dengan beliau," katanya. Sementara itu, seorang pemuda, Mohd Abdullah Hamid, 31, yang juga bersama dalam bantahan itu berkata, Mukhriz mudah didekati golongan muda dan banyak aktiviti diadakan menarik golongan generasi Y yang sering dipinggirkan kerajaan. "Majoriti anak muda menyokong Mukhriz, mereka suka dengan cara beliau memerintah yang mesra dengan orang muda. "Kalau Bashah, kami tidak tahu macam mana. Kami tidak rasa dia dapat memahami apa yang anak muda Kedah mahukan," katanya. Abdullah yang bekerja di salah sebuah kedai telekomunikasi di Alor Setar berkata jika Mukhriz digantikan, mereka tidak akan menyokong Umno dan menghukumnya pada pilihan raya umum nanti. "Jangan ingat anak muda Kedah ini bodoh. Kalau mereka tukar juga menteri besar kami akan tukar kerajaan Umno dalam pilihan raya nanti. "Jangan mengetepikan sokongan anak muda kerana kumpulan ini yang akan menjadi penentu dalam pilihan raya nanti," katanya yang juga merupakan pengundi kawasan DUN Bashah. Himpunan itu berlangsung kira-kira 20 minit dan berakhir secara aman dengan kehadiran beberapa anggota polis yang dilihat memantau keadaan sekeliling. Mereka dilihat membawa sepanduk "Tolak Bashah", "Kami tidak mahu Bashah jadi MB" dan beberapa sepanduk lain. Selain itu, dalam satu kajian yang dilakukan Jabatan Penerangan Kedah minggu lalu mendapati ramai bersimpati dan memberi sokongan kepada Mukhriz kerana berpendapat usaha menjatuhkannya sebagai satu tindakan tidak wajar. Kemelut politik Kedah sudah masuk lebih seminggu dan sehingga hari ini Najib masih belum mengumumkan nama baharu menteri besar walaupun sudah menghadap Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah, dipercayai bagi membincangkan mengenai nama menteri besar baharu. |
MENGAPA PEGUAM NEGARA SEKAT SPRM DAPATKAN PENYATA RM2.6 B? Posted: 29 Jan 2016 03:44 AM PST Mengapa Peguam Negara sekat SPRM dapatkan penyata RM2.6 b?Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mesti menjelaskan mengapa beliau tidak membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapatkan penyata bank luar negara yang berkaitan dengan sumbangan RM2.6 bilion yang diterima oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak. Ahli Panel Penilaian Operasi SPRM, Lim Chee Wee berkata suruhanjaya itu memerlukan persetujuan Apandi dalam permohonan mereka mendapatkan bantuan undang-undang bersama (MLA) bagi memperolehi dokumen-dokumen berkaitan. "Ini akan membantu melupuskan spekulasi cubaan untuk tutup oleh peguam negara dan derma yang didakwa itu adalah kononnya dari Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP)," katanya kepada Malaysiakini dalam e-mel hari ini. Apandi pada Selasa lalu membersihkan Najib daripada sebarang salah laku berhubung 'derma' RM2.6 bilion dan isu SRC International. Menurutnya, oleh kerana tidak ada kesalahan jenayah, maka tidak ada keperluan untuk membuat permintaan bagi mendapatkan MLA untuk tujuan melengkapkan siasatan. Apandi juga memerintahkan SPRM untuk menghentikan siasatan. Lim bagaimanapun berkata, peguam negara tidak mempunyai hak untuk membuat arahan sedemikian kerana dari segi undang-undang beliau wajib memberi persetujuan dengan permintaan mendapatkan MLA itu. "Dari segi undang-undang, AG bersalah untuk mengarahkan SPRM untuk menutup siasatannya. Kuasanya adalah untuk mendakwa. "SPRM berhak untuk meneruskan siasatan ke atas 1MDB dan bahawa AG mengikut undang-undang wajib memberi bantuannya bagi mereka mendapatkan MLA," katanya. Lim yang juga adalah bekas presiden Majlis Peguam turut menggesa Apandi untuk menjelaskan mengapa beliau membebaskan Najib daripada sebarang pertuduhan. Sebagai contoh, penasihat SPRM itu berkata Apandi perlu menjelaskan carta aliran yang dipegang beliau pada sidang akhbar Selasa lalu dan memberikan butir-butir sumbangan yang didakwa telah dipulangkan. Lim juga mempertikaikan bahawa keputusan peguam negara itu tidak boleh dicabar. "Keputusan peguam negara untuk mendakwa atau tidak boleh dicabar oleh mana-mana pembayar cukai di mana-mana mahkamah atau juga dipersoalkan oleh sesiapa sahaja di mana-mana ruang tamu, bilik mesyuarat, bilik lembaga, atau kedai kopi. "AG tidak mempunyai budi bicara mutlak dalam kuasa pendakwaan. Ini adalah kedudukan undang-undang di Malaysia, Singapura dan United Kingdom," katanya. Lim memberi jaminan kepada Apandi bahawa sekiranya beliau memegangan amanah sumpah jawatannya, beliau akan mendapat sokongan padu daripada rakyat jelata. |
Keputusan Apandi bebas Najib, apa pendirian Hadi? Posted: 29 Jan 2016 03:38 AM PST KUALA LUMPUR 29 JAN: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang mempersoal pendirian Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung keputusan Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali membebaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dari skandal kewangannya. Katanya, soalan itu relevan ekoran Hadi satu-satunya pemimpin pembangkang yang memberi sokongan tidak terhingga kepada Najib sebelum ini, malah mendapat pujian Najib kerana menyebelahinya berhubung skandal derma RM2.6 bilion dan RM42 juta dari SRC International. "Bagi menyelesaikan isu itu, tindakan berani kedua-dua komuniti politik dan undang-undang atau kehakiman diperlukan, justeru penting mengetahui sama ada Hadi menyokong keputusan Apandi. "Kita juga mahu tahu pendirian Hadi sama ada menyokong Peguam Negara ada 'kuasa diktator' bagi menjalankan 'budi bicara mutlak' melepaskan Najib dari sebarang salah laku atau tidak," katanya. Ahli Parlimen Gelang Patah itu mengulas kenyataan Apandi yang mengisytihar tindakan mempersoal keputusan Peguam Negara bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan mana-mana panel ditubuhkan bagi tujuan itu menyalahi undang-undang. Menentang keras kenyataan Apandi, beliau berkata, ia berlawanan dengan prinsip undang-undang asas yang diucap Pemangku Ketua Hakim Malaya ketika itu, Raja Azlan Shah dalam kes Sri Lempah tahun 1979 iaitu: "Setiap kuasa di sisi undang-undang mesti mempunyai had dan batasannya di sisi undang-undang, jika tidak akan menyebabkan pemerintahan diktator. Secara khususnya, ia adalah satu keperluan ketat yang mengikut budi bicara yang perlu dilaksanakan untuk tujuan yang betul, dan ia tidak boleh dijalankan secara tidak munasabah. Dalam erti kata lain, setiap budi bicara tidak boleh bebas dari kekangan undang-undang; dan jika ia salah dilaksanakan, adalah menjadi tugas mahkamah untuk campur tangan." Kata Kit Siang, sistem keadilan dan kedaulatan undang-undang mendapat perhatian serius pelbagai pihak dalam negara mahupun masyarakat antarabangsa membabitkan tujuh negara yang mahu siasatan bebas dibuat ke atas Najib berikutan keputusan Apandi itu. "Adakah Malaysia ada dua diktator – Perdana Menteri hasil dari Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara dan Peguam Negara yang mendakwa ada 'budi bicara mutlak' ala-Apandi?" katanya pada kenyataan media, hari ini. Namun, Kit Siang berkata masih ada harapan buat rakyat apabila beberapa bekas hakim Mahkamah Persekutuan dan Rayuan, juga pakar undang-undang utama dan peguam di Malaysia, bersedia mencabar doktrin 'jijik' yang dibawa Apandi. Katanya, bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan bersetuju tidak wujud kuasa mutlak dalam sistem demokrasi dan budi bicara Peguam Negara perlu dijalankan secara munasabah selepas mengambil kira seluruh faktor. -Roketkini.com |
MENGAPA TIDAK UBAHSUAI BAJET RM8.5 BILION JPM – AMANAH Posted: 29 Jan 2016 03:31 AM PST Mengapa tidak ubahsuai bajet RM8.5 bilion JPM – AmanahPengarah Strategi, Parti Amanah Negara (AMANAH) Dr Dzulkefly Ahmad menempelak pengubahsuaian Bajet 2016 oleh Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak kerana tidak bersedia mengurangkan peruntukan RM8.5 bilion bagi Jabatan Perdana Menteri. Dzulkefly juga mempersoalkan mengapakah pengubahsuaian bajet itu diumumkan di PICC dan bukannya parlimen. "Najib sendiri tidak bersedia untuk mengurangkan RM8.5 bilion dana yang diperuntukkannya untuk Jabatan Perdana Menteri. "Isu asas adalah hakikat bahawa bajet 2016 perlu semakan kerana harga minyak pada AS$48 setong kini berlegar sekitar AS$30 setong. "Ini akan menyebabkan anggaran negara kehilangan hasil berbilion ringgit, setiap kejatuhan AS$1 kita akan kehilangan RM5 bilion," katanya. Beliau berkata demikian ketika mengulas semakan Bajet 2016 yang diumumkan oleh Najib, berikutan penurunan harga minyak yang menyumbang kepada sebahagian besar pendapatan negara. Dzulkefly berkata bukan sahaja Najib gagal mengurangkan peruntukan kepada jabatannya tetapi menyifatkan Najib tidak tahu apa yang berlaku dan tidak menangani kejatuhan hasil itu. Ini, katanya adalah kerana kegagalan kerajaan mengisi jurang dan menangani kemungkin RM5 bilion yang merosot itu. Menurutnya, Najib juga tidak mengulas lanjut langkah-langkah untuk meningkatkan pendapatan negara dan adalah adil bagi orang ramai mengandaikan perdana menteri akan mengulangi tabiat buruknya dengan membuat lebih banyak pinjaman. |
Peguam Negara tiada kuasa tutup kes –Gobind Singh Posted: 29 Jan 2016 03:28 AM PST KUALA LUMPUR, 29 JAN: Peguam Negara tiada kuasa mengikut Perlembagaan Persekutuan untuk mengarahkan mana-mana kertas siasatan termasuk kes skandal derma RM2.6 bilion membabit Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, ditutup. Justeru, Ketua Biro Undang-undang DAP, Gobind Singh Deo, berkata sebarang siasatan terhadap skandal berkaitan derma ke akaun peribadi Perdana Menteri itu, sepatutnya boleh diteruskan. "Merujuk Artikel 145 (3), Peguam Negara diberi kuasa untuk memulakan, menjalankan atau menghentikan prosiding jenayah. Ia tak nyatakan sebarang kuasa kepada Peguam Negara untuk tutup kes. "Perlembagaan Persekutuan tidak memberi kuasa kepada Apandi sebagai Peguam Negara untuk menutup kes," kata Ahli Parlimen Puchong itu yang juga seorang peguam ketika dihubungi Roketkini, hari ini. Kata Gobind, semua kes perlu sentiasa dibuka dan pendakwaan boleh membukanya semula pada mana-mana peringkat jika berasa perlu berbuat demikian terutama apabila bukti baru diperoleh. "Seseorang itu hanya dilindungi jika ia dibebaskan di bawah Perkara 7 Perlembagaan Persekutuan berhubung kes yang serupa," katanya. Apandi pada 26 Januari lalu membuat kenyataan bahawa Najib tidak melakukan apa-apa kesalahan berhubung dua skandal kewangan melibatkan sumbangan derma RM2.6 bilion dan kes SRC International Sdn Bhd hingga membangkitkan kemarahan ramai. Apatah lagi, tersebar berita Apandi dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Tabung Haji yang kini berdepan kemelut kewangan akibat paras negatif rizab institusi itu sejurus selepas keputusan kontroversi itu dibuat. -Roketkini.com |
KES RASUAH SCORPENE AKHIRNYA MASUK MAHKAMAH PERANCIS Posted: 29 Jan 2016 03:26 AM PST Kes rasuah Scorpene akhirnya masuk mahkamah PerancisPendakwaan pertama dibuat terhadap pihak didakwa memberi sogokan terhadap pegawai yang rapat dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam kes jualan kapal selam Scorpene oleh sebuah syarikat Perancis kepada Malaysia. Ia berlaku selepas penantian hampir empat tahun. Agensi berita Perancis melaporkan hari ini, pendakwaan dibuat terhadap bekas bos sebuah anak syarikat antarabangsa Thales – firma Perancis yang didakwa membayar komisen kepada pegawai kerajaan Malaysia. Menurut AFP, Bernard Baiocco, 72, bekas presiden Thales International Asia (Thint Asia), didakwa pada 15 Disember tahun lalu atas tuduhan "aktif merasuah pegawai awam luar negara yang berkaitan dengan Najib Razak". Najib ketika itu bertugas sebagai menteri pertahanan. Laporan itu menamakan penganalisis politik Abdul Razak Baginda sebagai pihak didakwa menerima sogokan itu. Razak Baginda tidak lagi berada di Malaysia pada masa ini. Kerajaan pada 5 Jun 2002 mematerai rundingan bernilai RM3.7 bilion (1.035 bilion euro) dengan syarikat pembina kapal DCN International untuk membeli kapal selam Perancis bagi membentuk armada pertama kapal selam Malaysia. Ketika dihubungi, Pengarah Pusat Melawan Rasuah dan Kronisme Cynthia Gabriel berkata "inilah saat yang kita nanti-nantikan". Cynthia antara sosok penting dalam saman berkaitan rundingan Scorpene yang difailkan oleh NGO hak asasi Suara Rakyat Malaysia (Suaram) di mahkamah Perancis. |
You are subscribed to email updates from WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI. To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |