WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI |
- MAYAT KEVIN PERLU BEDAH SIASAT KEDUA – CHARLES MORAIS
- ISU DI P.PINANG ADALAH DARI TANGAN UMNO
- PKR PUTUSKAN KONFLIK ADUN – KETUA MENTERI P. PINANG SELESAI
- TOL LEBUH RAYA: RAKYAT HADAPI ‘TIGA KEKALAHAN’ BERGANDA
- KATA AMANAH KEPADA PAS: TOLAK BUDAYA SAMSENG, TAKFIRI
- LEBIHAN PALSU BAJET PAHANG: KE MANA PERGINYA WANG EHSAN 2014?
- FOTOSTAT UNTUK PELAJAR, PENDIDIK JENAYAH DI BAWAH TPPA
MAYAT KEVIN PERLU BEDAH SIASAT KEDUA – CHARLES MORAIS Posted: 25 Nov 2015 08:59 PM PST Mayat Kevin perlu bedah siasat kedua – Charles MoraisAdik kepada mendiang timbalan pendakwa raya Kevin Morais berkata beliau mahu bedah siasat kedua dijalankan ke atas abangnya kerana hasil prosedur pertama tidak jelas. Charles Morais berkata punca kematian yang dinyatakan kemungkinan disebabkan lemas, dan ini akan membuatkan mereka yang didakwa dalam kes pembunuhan Kevin dibebaskan. "Punca kematian ringkas (one liner), kemungkinan lemas. Tiada sebarang bekas pada badan. "Saya ingin ketawa. Pertuduhan itu akan dibuang," katanya pada sidang akhbar di pejabat peguamnya Americk Sidhu. Enam lelaki didakwa berhubung pembunuhan Kevin, manakala ahli patologi Dr R Kunasegaran didakwa bersubahat. Mayat Kevin ditemui dalam tong dram berisi konkrit itu dalam parit di Taman Subang Mewah, USJ 1, Subang Jaya, 12 hari selepas penculikannya pada 4 September. Charles berkata apa yang membimbangkan ialah penemuan kabur pada laporan bedah siasat pertama, menjadi alasan beliau memfailkan permohonan di mahkamah pada Isnin untuk prosedur kedua. Bagaimanapun, tanpa diketahui Charles, abangnya Datuk Richard Morais, pada hari sama menuntut mayat Kevin dari rumah mayat Hospital Kuala Lumpur tanpa memberitahu mana-mana ahli keluarga. Mahkamah Tinggi menetapkan 4 Disember untuk pengurusan kes permohonan Charles bagi menjalankan bedah siasat kedua. Charles berkata beliau amat terkejut apabila pihak berkuasa di Hospital Kuala Lumpur dan polis nampaknya bersubahat dalam membenarkan mayat Kevin dikeluarkan dari rumah mayat oleh Richard apabila kedua-dua pihak tahu beliau (Charles) mahukan bedah siasat kedua dijalankan. Charles mendakwa Richard adalah "pembelot" dan sanggup melakukan apa saja demi wang. Dalam 18 halaman akuan berkanun (SD) yang beliau nyatakan pada sidang akhbar hari ini, Charles juga mendakwa Richard bersekongkol dengan penjenayah terbesar di Kuala Lumpur. "Kevin memaklumkan kepada ketua polis negara beliau sudah tidak berhubung dengan Richard sejak 2004 dan tidak tahu apa-apa," katanya. |
ISU DI P.PINANG ADALAH DARI TANGAN UMNO Posted: 25 Nov 2015 02:29 PM PST OLEH YONGYong menentang apa-apa projek yang berpotensi akan menjejaskan alam-sekitar dan sumber sara hidup penduduk tempatan. Tidak kira projek itu datang dari pihak mana - Pakatan Harapan atau Barisan Nasional. Walau bagaimanapun, Yong juga menentang pengeksploitan isu alam-sekitar sebagai cara untuk menjatuhkan kerajaan yang cuba menangani masalahnya supaya tiada pihak yang akan mendapat untung atas angin. Mutakhir ini ramai sangat yang ingin mencari laba dengan cara yang singkat, tanpa berusaha keras. Apapun, pihak rakyat marhaen yang terkesan dengan penerusan projek tersebut harus mendapat pertimbangan yang adil dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang. Pihak Kerajaan Negeri hendaklah secara telus memperincikan (jika belum lagi) bagaimana pemuliharaan alam-sekitar dan sumber pendapatan yang terjejas dengan projek itu diuruskan. Berikut kenyataan media Ketua Menteri Pulau Pinang yang menjelaskan kedudukan sebenar projek tersebut: Kenyataan Media Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng di Komtar, George Town pada 24.11.2015. Adakah Lim Guan Eng mahu dikenang sebagai orang yang membiarkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang menjadi bankrap berikutan terpaksa membayar pampasan besar kerana menghentikan projek-projek tebus guna tanah yang telah diluluskan oleh Kerajaan BN dahulu yang hanya menguntungkan kroni-kroni BN? Nampaknya ini yang menjadi kesimpulan tulisan seorang kolumnis Malaysiakini yang menyokong tindakan seorang ADUN DAP Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu, yang memberi undi kepada usul UMNO, dan tindakan 5 ADUN PKR yang berkecuali (iaitu tidak memberi sokongan kepada Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) sewaktu sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini. Lima ADUN PKR tersebut adalah Ong Chin Wen (Bukit Tengah), Norlela Ariffin (Penanti), Cheah Kah Peng (Kebun Bunga), Dr T Jayabalan (Batu Uban), dan Lee Khai Loon (Machang Bubuk). ADUN DAP Teh telah pun mengakui kesilapannya dan memohon maaf kepada parti serta menjelaskan beliau akan kembali kepada perjuangan DAP. Beliau menambah bahawa beliau rela menerima apa sahaja tindakan daripada parti berikutan kesilapannya, dan kini sedang menanti tindakan disiplin. Saya tidak percaya bahawa saya dipilih oleh rakyat untuk membiarkan Pulau Pinang menjadi bankrap. Lebih baik saya dikritik daripada dipuji, asalkan saya dapat memastikan Pulau Pinang tidak bankrap, malah dapat terus meningkatkan lebihan hasil ekonomi untuk membolehkan kita melabur dalam pembinaan infrastruktur awam, pendidikan dan inovasi. Kerajaan Pulau Pinang hari ini telah mempunyai pengalaman yang pahit dan pedih apabila terpaksa membayar pampasan RM14.7 juta (dan masih tidak mendapat pulangan) berikutan skandal tanah Tang Hak Ju yang berpunca daripada perbuatan kerajaan lama BN, dan membayar pampasan RM20 juta kepada Boustead Holdings Bhd kerana mengurangkan ketinggian hotelnya di George Town yang diluluskan oleh kerajaan BN yang terdahulu, daripada 12 tingkat kepada 5 tingkat. Fakta sebenar tentang usul ADUN UMNO berhubung isu tebus guna tanah Walaupun BN telah meluluskan 3,241 ekar tanah untuk tebus guna tanah, hanya 744 ekar telah ditebus guna. Menangguhkan yang selebihnya itu, terutama projek tebus guna tanah Tanjung Pinang oleh E&O, boleh menyebabkan Kerajaan Negeri Pulau Pinang terpaksa membayar pampasan sehingga RM1 bilion. Ini boleh menyebabkan Pulau Pinang menjadi bankrap. Sewaktu mengemukakan usul tentang tebus guna tanah, ADUN UMNO Muhammad Farid Saad tidak pula meminta maaf kepada rakyat Pulau Pinang walaupun beliau sendiri adalah salah seorang wakil Kerajaan Negeri BN sebelum tahun 2008 yang telah meluluskan 3,241 ekar tanah tersebut, berbanding 60 ekar oleh Kerajaan Pakatan Harapan pada masa ini. Beliau juga tidak menawarkan sebarang ganti rugi daripada Kerajaan Pusat BN kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang jika projek tebus guna tanah tersebut ditangguh atau dibatalkan. Apa yang mengejutkan saya ialah ada beberapa aktivis NGO yang menyokong usul Farid dengan tidak mempedulikan fakta bahawa tebus guna tanah 3,241 ekar yang begitu besar itu adalah diluluskan oleh kerajaan BN, serta mereka buat-buat tidak nampak tentang ketiadaan pampasan dan gantirugi daripada Kerajaan Pusat BN jika tebus guna tanah ditangguh atau dibatalkan. Mengenai usul Farid yang meminta dilaksanakan kajian menyeluruh seperti kajian Penilaian Impak Alam Sekitar yang Terperinci (DEIA) serta menjalankan rundingan awam, ia memang sudah menjadi kewajipan undang-undang yang tercatat dalam undang-undang Persekutuan. Jika gagal melaksanakannya, ia bererti tebus guna tanah tidak boleh dilakukan. Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang tidak pernah lari dari tanggungawab untuk mengadakan rundingan awam atau pertemuan dewan orang ramai. Jadi memang tidak ada isu berbangkit dalam hal ini. Perbezaan di antara PORR dan tebus guna tanah adalah PORR belum dimuktamadkan (dan tidak pernah dibina sehingga hari ini) sedangkan projek-projek tebus guna tanah telah diluluskan dan dimuktamadkan oleh BN Malaysiakini telah menyiarkan satu kolum yang bertanya tentang pemimpin veteran DAP Lim Kit Siang pernah meminta BN menghormati hak 2 ADUN MCA yang berkecuali terhadap usul DAP oleh Danny Law pada tahun 2002, tetapi Lim Guan Eng tidak boleh menghormati hak 5 ADUN PKR untuk berkecuali dalam isu usul UMNO ini. Kita perlu ingat bahawa 2 ADUN MCA yang berkecuali pada 2002 itu adalah kerana mereka membantah projek Lingkaran Jalan Luar Pulau Pinang (PORR) bernilai RM1 bilion yang dicadangkan oleh kerajaan BN mereka sendiri. Perbezaan di antara PORR dan tebus guna tanah adalah PORR belum dimuktamadkan (dan tidak pernah dibina sehingga hari ini) sedangkan projek-projek tebus guna tanah telah diluluskan dan dimuktamadkan oleh BN Sekarang, usul UMNO mencadangkan supaya ditangguhkan tebus guna tanah yang diluluskan oleh BN yang akan mengakibatkan pampasan dibayar oleh Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang, dan bukannya oleh BN. Ini sangat tidak adil dan inilah sebabnya mengapa 23 ADUN Pakatan Harapan menolak usul UMNO itu. Menolak usul UMNO tersebut juga memperlihatkan pendirian kami yang tidak bersetuju dengan keputusan BN meluluskan 3,241 ekar tanah untuk tebus guna. Sebaliknya, tindakan menyokong usul UMNO itu atau mengambil sikap berkecuali bererti membiarkan BN dan UMNO lepas dari tanggungjawab mereka, sedangkan merekalah yang sebenarnya gagal melindungi kepentingan orang awam. Menyokong usul UMNO itu atau mengambil sikap berkecuali juga akan memaksa Kerajaan Negeri sekarang membayar pampasan terhadap penangguhan tebus guna tanah yang bakal membawa kepada bankrapsi. Dengan itu, mengapa perlu Kerajaan Negeri sekarang dipaksa membayar pampasan untuk tebus guna tanah yang bukan kami yang meluluskannya? Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang sedia bertanggungjawab penuh terhadap kesilapan kami, jika ada, tetapi kami tidak akan menyalahgunakan wang rakyat atas kesalahan dan kegagalan BN, terutamanya apabila tiada gantirugi daripada Kerajaan Persekutuan bagi apa-apa pampasan yang perlu dibayar oleh Kerajaan Negeri apabila menangguh atau membatalkan tebus guna tanah. Kegagalan melindungi kepentingan Kerajaan Negeri daripada dipaksa membuat bayaran pampasan yang besar serta memilih untuk menyokong atau berkecuali dengan usul UMNO tersebut adalah sangat tidak bertanggungjawab. Tidak ada seorang pun daripada 5 ADUN PKR yang mengambil keputusan itu berkecuali itu telah bangun untuk membahaskan usul tersebut. Mereka juga tidak memberitahu Kerajaan Negeri atau mana-mana empat pemimpin utama PKR Negeri, iaitu Timbalan Speaker, Dato Maktar Shapee; dan Timbalan Ketua Menteri 1, Dato Mohd Rashid Hasnon, serta Exco-Exco Kerajaan Negeri, Dato Abdul Malek dan Dr Afif Bahardin, yang menolak usul UMNO itu. Sebaliknya, Ketua Whip PKR Ong Chin Wen hanya memberitahu seorang pemimpin kebangsaan PKR tentang niat untuk berkecuali tetapi tidak pula memberitahu Exco-Exco PKR atau Timbalan Ketua Menteri 1 – seolah-olah ia adalah undi tidak percaya beliau terhadap pemimpin PKR Negeri Pulau Pinang. Kini sudah heboh, siapa sebenarnya yang berkuasa dalam DUN Pulau Pinang, PKR 5 atau PKR 4? Walaupun tindakan tidak bertanggungjawab itu telah menyebabkan terjejasnya keyakinan Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang terhadap 5 ADUN PKR dan 1 ADUN DAP tersebut, mereka tetap kekal sebagai ADUN Kerajaan Pakatan Harapan. Buat masa ini, semua tugas mereka sebagai ADUN Pakatan Harapan berjalan seperti biasa bersama dengan peruntukan kerajaan untuk kawasan masing-masing. Kerajaan Negeri akan menilai peranan dan prestasi mereka dalam tugas-tugas yang melibatkan tugasan pentadbiran kerajaan. ******************** Setakat Yong tidak pasti sama ada perbuatan 5 ADUN PKR itu ada kaitan dengan kem-kem yang wujud dalam PKR yang kini dikenali sebagai PKRAzmin dan PKRWan Azizah. Yong berharap kepada sahabat-sahabat Yong dalam PKR supaya mencari jalan yang terbaik untuk menangani "differences" mereka dengan segera. Perpecahan dalam PKR hanya akan menguntungkan BN, sebagaimana perpecahan dalam PAS. Anda silap jika anda fikir PRU14 masih lama lagi. |
PKR PUTUSKAN KONFLIK ADUN – KETUA MENTERI P. PINANG SELESAI Posted: 25 Nov 2015 02:21 PM PST PKR putuskan konflik Adun – Ketua Menteri P. Pinang selesaiPertentangan pendapat antara pemimpin PKR dan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng selepas 5 Adun PKR berkecuali atas usul BN mengenai alam sekitar baru-baru ini diputuskan selesai oleh Biro Penyelaras Ahli Parlimen dan ADUN. Pengerusinya, Datuk Johari Abdul berkata isu tersebut tidak perlu diulas lagi selepas ini oleh pemimpin parti mahu pun ahli memandangkan tindakan 5 Adun itu tidak bercanggah dengan pendirian PKR. "Selepas mendengar penjelasan daripada Ahli-ahli Dewan Undangan kita dari negeri Pulau Pinang, kita berpuas hati dengan penerangan and keputusan yang diambil oleh lima orang Ahli Dewan Undangan Negeri yang tidak mengundi dalam usul tambakan laut di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini. "Kita ambil maklum bahawa usul yang dibawa dalam Dewan itu bukan usul atau isu yang partisen. Isu yang dibawa itu adalah berkenaan dengan alam sekitar dan kepentingan rakyat," katanya dalam satu kenyataan. Menurut Johari, PKR menghormati perbezaan pendapat kerana ia merupakan demokrasi yang sihat. Malahan, katanya, PKR berpendapat bahawa demokrasi yang sihat itu harus disemarakkan. "Perlu juga ditegaskan bahawa kita harus ada suatu perpisahan kuasa antara pengubal undang-undang (legislators) dan eksekutif. "Ingin kita tegaskan bahawa kita komited dengan kerajaan Pakatan Harapan di negeri Pulau Pinang. ADUN-ADUN Keadilan menyokong kepimpinan kerajaan Pakatan Harapan negeri Pulau Pinang "Isu ini dianggap selesai," putus Johari. |
TOL LEBUH RAYA: RAKYAT HADAPI ‘TIGA KEKALAHAN’ BERGANDA Posted: 25 Nov 2015 12:53 AM PST Tol lebuh raya: Rakyat hadapi 'tiga kekalahan' bergandaAhli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menyifatkan pengguna jalan raya sebagai golongan paling kalah (The biggest loser) dalam Bajet Kementerian Kerja Raya 2016, sebaliknya 'pemenangnya' adalah syarikat-syarikat konsesi tol. Katanya, dalam perbahasan peringkat jawatankuasa bajet kementerian itu semalam, Menteri Kerja Raya mengumumkan kadar tol untuk 8 lagi lebuh raya akan naik pada tahun 2016. Bagaimanapun menurut Sim, peruntukan RM593 juta untuk bayaran pampasan tol kepada syarikat konsesi datang daripada pemotongan bajet untuk penyelenggaraan jalan persekutuan Sabah, Sarawak dan semenanjung Malaysia. Beliau berkata, kementerian memotong peruntukan untuk penyelenggaraan jalan Persekutuan Sabah, Sarawak dan Labuan daripada RM429 juta (2014) kepada RM160 juta (2015) dan RM100 juta pada tahun 2016. Ia merupakan pengurangan mendadak dua tahun berturut-turut sebanyak RM329 juta jika dibandingkan pada tahun 2014. Manakala bagi penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Semenanjung pula, peruntukan dipotong sebanyak RM200 juta daripada RM640 juta (2014) kepada RM440 juta (2016). "Maka, boleh disimpulkan bahawa, peruntukan yang sepatutnya digunakan untuk menyelenggarakan jalan persekutuan telah dipindah ke peruntukan pampasan tol. "KEADILAN tidak bersetuju dengan pendekatan Kerajaan yang memotong peruntukan penyelenggaraan jalan persekutuan demi membayar syarikat-syarikat tol. "Peruntukan tersebut penting untuk memastikan jalan persekutuan sentiasa keadaan baik dan selamat untuk pengguna jalanraya. "Memotong peruntukan penyelenggaraan jalan persekutuan untuk membayar pampasan tol adalah dasar yang songsang dan meletakkan pengguna jalan raya dalam keadaan bahaya," katanya. Justeru katanya, KEADILAN menyeru kerajaan mengembalikan peruntukan penyelenggaraan jalan persekutuan sepertimana bajet tahun 2014. "Maka boleh disimpulkan pengguna jalan raya adalah "the biggest loser" dan "the only winner" adalah syarikat konsesi yang mendapat duit dari semua pihak," katanya. |
KATA AMANAH KEPADA PAS: TOLAK BUDAYA SAMSENG, TAKFIRI Posted: 25 Nov 2015 12:44 AM PST Kata Amanah kepada Pas: Tolak budaya samseng, takfiriPemimpin Parti Amanah Negara berkata beberapa insiden yang membabitkan ahli-ahli parti itu dan Pas sejak kebelakangan ini seperti tuduhan murtad, sesat atau halal darah bagi sesiapa yang keluar jemaah adalah tidak sewajarnya berlaku di Malaysia. Naib Presiden Amanah Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, fahaman seperti itu lebih kepada konsep perjuangan Kumpulan Militan Negara Islam Iraq dan Syria (ISIS) yang amat berbahaya kepada kestabilan masyarakat. Ujarnya, doktrin ideologi ekstremisme di Malaysia pada masa ini secara asasnya tersebar melalui doktrin dalam kalangan penceramah agama sama ada secara sedar atau tidak disedari. Menurutnya, fenomena takfiri atau mengkafirkan yang menjadi asas dalam pemikiran ISIS terhadap pihak lain berlaku apabila menganggap jemaahnya sahaja memiliki kebenaran mutlak. "Memilih wadah politik lain dengan meninggalkan parti lama dianggap pengkhianat dan layak mendapat laknat malah memaksa supaya isteri diceraikan berpandukan kepada ikat janji yang dibuat. "Pemikiran ini menganggap meninggalkan parti politik tertentu dengan memilih wadah lain seolah-olah keluar dari agama Islam. Inilah pelabelan murtad, sesat munafik dan tinggalkan jamaah yang dikuliahkan oleh sebahagian pengkuliah dan penceramah. Corak pemikiran inilah yang membentuk gaya ISIS dan seumpamanya yang amat membahayakan masyarakat," ujar Dr Mujahid dalam kenyataan bersama Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Baharin. Menurut Mujahid dan Raja Kamarul lagi, ciri fahaman ISIS lain dapat dilihat pada penafsiran ayat al-Quran dan al-Hadis yang dikupas secara tekstual tanpa melihat konteks. Begitu juga, jelas mereka, keterasingan dalam memahami realiti kenegaraan dan perundangan negara serta kedudukan kepelbagaian masyarakat membawa kepada penafsiran literal dari bahan yang dibaca sehingga melahirkan hubungan anti-establisment terhadap negara yang didiami. Dalam kenyataan kedua-dua bekas pemimpin PAS itu juga menyatakan masyarakat terdedah menjadi ekstrem apabila ada pihak yang hanya menekankan Islam dalam kerangka hukuman jenayah tanpa melihat aspek syariat dalam kerangka tujuan besar syariat mengakibatkan lahirnya pembawaan Islam yang keras sehingga hilang asas Islam yang ramah dan penuh kemanusiaan. Kenyataan kedua-dua pemimpin itu sekaligus dapat difahami merujuk kepada parti yang mereka tinggalkan iaitu PAS walaupun tidak menyebut sama sekali nama parti yang mutakhir ini dilihat mesra dengan Umno itu. Hal ini dapat dilihat kepada beberapa kes serangan fizikal yang membawa kepada beberapa laporan polis seperti berlaku di Terengganu baru-baru ini selain pada masa sama, ujar Dr Mujahid, sikap sesetengah penceramah agama yang mengheret orang awam di masjid dan surau dengan fatwa-fatwa kecil yang arus bawahnya membentuk corak pemikiran ekstrem. "Kami tidak hanya bimbang kepada ahli Parti Amanah Negara tetapi masyarakat lain pun boleh menjadi mangsa apabila jalur keras ini menguasai pemikiran orang ramai," tegas Dr Mujahid lagi. Sehubungan itu, Amanah menggesa kerajaan agar lebih sensitif kepada corak pemikiran ini dan proaktif menangani kegiatan pra-terrorisme secara ideologi ini tanpa mengeksploitasi keadaan untuk kepentingan politik tertentu. Beberapa langkah wajar dilakukan pihak kerajaan antaranya, membentuk Jawatankuasa Mendepani Ideologi Ekstrimisme di peringkat Parlimen serta pemantauan terhadap isi kandungan penceramah di masjid dan surau oleh Majlis Agama negeri-negeri bagi membendung jalur pemikiran ekstrem dengan menasihati aspek fundamental tentang bahayanya gejala takfiri. |
LEBIHAN PALSU BAJET PAHANG: KE MANA PERGINYA WANG EHSAN 2014? Posted: 24 Nov 2015 10:17 PM PST Lebihan palsu Bajet Pahang: Ke mana perginya wang ehsan 2014?ULASAN: Bajet 2014 yang dibentangkan pada tahun 2013 telah menjangkakan bahawa prestasi kewangan tahun tersebut akan mencapai lebihan sejumlah RM110juta dengan hasil sejumlah RM811juta. Anggaran ini turut menganggarkan hasil daripada Wang Ehsan sejumlah RM100 juta dalam perkara "Pemberian Khas" Bajet 2014. Saya telah mempertikaikan hasil lebihan tersebut semasa membahas Bajet 2014 di mana Bajet Pahang hanya akan mencapai lebihan RM2.19juta atau mungkin menjadi defisit tanpa Wang Ehsan tersebut dan Lebihan Bajet tersebut berunsur "lebihan palsu". Menteri Besar Pahang telah meminta saya untuk menarik balik kenyataan tersebut dan telah membuat usul untuk menghalau saya keluar dari dewan dan saya dilarang untuk menghadiri dewan bagi tempoh satu tahun kerana mempertikaikan lebihan bajet itu. Namun apa yang amat mengejutkan adalah Penyata Kewangan Pahang 2014 membuktikan bahawa jangkaan Kerajaan Pahang bahawa lebihan RM110juta dalam bajet 2014 pada hakikatnya telah menjadi kurangan (defisit) sejumlah RM115.9juta. Dari segi perakaunan, pengiraan bajet Pahang 2014 dengan keadaan sebenar mempunyai perbezaan sejumlah RM225.9juta! Apa yang paling mengejutkan adalah Hasil penelitian saya dalam Laporan Kewangan mendapati bahawa Kerajaan Pahang tidak menerima Wang Ehsan (Pemberian Khas) RM100juta pada tahun 2014, dan jangkaan saya 2 tahun lepas pada tahun 2013 bahawa Bajet Lebihan mungkin akan menjadi DEFISIT tanpa Wang Ehsan, TELAHPUN BERLAKU! Perkara ini turut dibangkitkan apabila ADUN Beserah, YB Andansura membahaskan Bajet Pahang dan YAB Menteri Besar Pahang telah bangun dan memberi respon bahawa kerajaan Pahang memang tidak menerima Wang Ehsan pada tahun 2014. Dalam Bajet 2016 Pahang, kerajaan Pahang turut membentangkan Bajet Lebihan dengan lebihan RM1.28juta sahaja. Namun, jumlah Pemberian Khas, yang dipecayai merupakan hasil daripada wang ehsan yang dijangka akan diterima adalah sejumlah RM140juta! Adakah ini bermakna akhirnya Bajet 2016 turut akan mengalami defisit yang teruk, sekiranya Wang Ehsan tidak diterima? Saya ingin mendapatkan penjelasan daripada pihak Kerajaan Negeri dalam perkara ini: a. Mengapakah Wang Ehsan tidak diterima pada tahun 2014? b. Adakah kerajaan telah menerima Wang Ehsan yang dijanjikan sejumlah RM200juta pada tahun 2015? c. Bagaimanakah Kerajaan Pahang memastikan Wang Ehsan dibayar pada tahun 2016? Lee Chean Chung ADUN Semambu Ketua Penerangan AMK Pusat |
FOTOSTAT UNTUK PELAJAR, PENDIDIK JENAYAH DI BAWAH TPPA Posted: 24 Nov 2015 10:15 PM PST Fotostat untuk pelajar, pendidik jenayah di bawah TPPAULASAN: TPPA yang merupakan sebuah perjanjian perdagangan yang kini sedang diteliti oleh Malaysia mempunyai 30 bab. Ianya bukan setakat sebuah perjanjian perdagangan, tetapi lebih merupakan sebuah perjanjian yang ingin menjamin hak pemilik modal, pelabur kapitalis dan pemilik harta intelek (iaitu syarikat korporat besar dari negara-negara dunia pertama) . Seperti mana yang dinayatakan oleh Nizam Mahsar dari MTEM bahawa "Isu Hak Cipta memainkan peranan yang penting dalam pendidikan. Setiap hari, bahan-bahan pendidikan seperti buku, CD, internet dan program komputer digunakan untuk menyampaikan ilmu kepada jutaan pelajar di negara ini dan juga memastikan bahawa mereka boleh mendapatkan akses kepada pengetahuan dan maklumat dengan cara yang mudah. Jutaan rakyat Malaysia bergantung kepada sumber-sumber ilmu yang diimport dan kandungan bahan-bahan ini juga sudah pun dilindungi oleh Akta Hak Cipta 1987." Tetapi, pihak pemilik hak milik dan korporat , tidak puas hati dengan akta yang kita sudah ada, bahkan ingin mengetatkannya lagi dari segi penguat kuasaan dan tempoh . Kini tempoh hak milik intelek ingin ditambahkan dari lima puluh tahun (50) ke tujuh puluh tahun (70) selepas kematian pengarang buku tersebut dalam TPPA ini. Maksudnya, harga buku rujukan para pelajar tempatan akan kekal tinggi , menghalang ianya dicetak semula oleh pihak ketiga dan dijual dengan harga yang lebih mampu. Jenayah fotostat ! Tambahannya pula TPPA seolah –olah menjadikan seseorang yang mencetak semula buku atau fotostat buku apabila karya tersebut masih berada dalam tempoh hak milik itu sebagai seorang penjenayah berat. Walaupun para pelajar atau pendidik hanya fotosat buku (atau sebahagian daripadanya) untuk tujuan kegunaan sendiri atau kelas, dan bukannya untuk dijual kepada orang ramai (komersial),TPPA mengkehendaki pihak kerajaan untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas pelajar atau pendidik ini . Teks Perjanjian TPPA menyatakan seperti berikut;
Article 18.77 (1): Each Party shall provide criminal procedures and penalties in cases of wilful copyright piracy. Article 18.77 (6)(a): Each Party shall provide penalties that include sentences of imprisonment as well as monetary fines sufficiently high to provide a deterrent to future acts of infringement.
Article 18.77 (6)(c): Each Party shall provide for the seizure of suspected pirated copyright goods and the implements used in the commission of the alleged offence. Article 18.77 (6)(e): Each Party shall provide for the authority to order the destruction of pirated copyright goods and the implements used in the commission of the offence. Maka jelas bahawa para pelajar .pendidik dan juga pustakawan yang fotostat hasil karya orang lain untuk tujuan menyampaikan ilmu akan menghadapi risiko dihadapkan ke mahkamah dan boleh didenda dan dipenjara bagi kesalahan melanggar undang-undang hak cipta dan penggunaan harta intelek tanpa kebenaran khusus, walaupun bukan untuk pulangan komersial/kewangan. Hakcipta diniagakan ? Selain daripada peruntukkan yang dituntut oleh TPPA, kita juga perlu buka minda kepada pelbagai kemungkinan penyalahgunaan yang akan berlaku jika dibenarkan TPPA ini . 'Copyright' terhadap buku mungkin boleh dipajak ataupun dijual kepada pihak ketiga yang akan menikmati segala hak daripada 'Copyright' itu. Wujudnya kemungkinan besar bahawa Dana Pelabuhan Asing 'Vulture Funds' akan membeli hakcipta 'Copyright' sejumlah buku teks untuk beberapa bidang pelajaran daripada pengarang asal. Setelah memperolehi hak cipta untuk karya tersebut mereka boleh menubuhkan sebuah bisnes francais kedai fotostat yang menawarkan perkhidmatan fotostat. Bisnes francise ini boleh pula mengutip royalti dengan menyewa francais fotostat buku-buku ini ke pihak-pihak seperti 'along' di negara-negara lain. Pihak 'along' yang menyewa francais ini boleh membuka kedai-kedai fotokopi di mana buku-buku ini dapat difotokopi tetapi dengan harga tinggi yang dikawal oleh mereka, Mungkin RM1 satu muka surat ataupun lebih. Demi menjamin monopolinya, 'along' yang memegang francais harus mendakwa satu atau dua orang yang fotokopi melalui pihak yang lain untuk mengawal pasarannya. Hukuman berat terhadap "kesalahan" ini akan menakutkan orang awam dan juga pemilik kedai fotokopi biasa. Maka pelajar terpaksa pergi ke pusat fotokopi pemegang francais ini sahaja untuk melakukan fotokopi. Ini merupakan suatu kemungkinan yang akan berlaku. Kesemua ini tidak berlaku sebaik sahaja Perjanjian TPPA diratifikasikan. Tetapi dalam tempoh masa 10 ataupun 20 tahun sudah tentu perkembangan seperti ini akan berlaku dan pelajar kita akan dibebankan dengan kos yang tinggi. Justeru itu , implikasi TPPA ini sungguh menakutkan dan akan menjejaskan hak pendidikan rakyat Malaysia. Hakcipta hanya merupakan sebahagian daripada 30 bab TPPA ini, dan implikasi bab –bab yang lain juga menunjukan bahawa rakyat Malaysia tidak akan bermanfaat dari perjanjian ini . Dr. Jeyakumar Devaraj /Sivarajan Parti Sosialis Malaysia |
You are subscribed to email updates from WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI. To stop receiving these emails, you may unsubscribe now. | Email delivery powered by Google |
Google Inc., 1600 Amphitheatre Parkway, Mountain View, CA 94043, United States |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan