Siapa mangsa, siapa pemangsa?WALAUPUN sudah hampir tiba saat akhir Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) dibuka, pertelingkahan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia Bhd (AirAsia) masih berterusan.

Terbaru, AirAsia yang akan menjadi pengguna terbesar KLIA2 enggan memindahkan operasinya ke  situ selepas Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi mengumumkan terminal tambang rendah (LCCT) digunakan AirAsia sekarang akan ditutup pada 9 Mei depan.

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Aireen Omar dalam satu kenyataan, Rabu lalu menjelaskan sebab AirAsia mahu kekal beroperasi dari LCCT.

"Kami lebih daripada bersedia untuk berpindah ke KLIA2 tetapi kami mesti berpindah dalam keadaan yang betul. Bukan niat kami untuk sengaja tidak berpindah.

"Ada banyak kebimbangan, terutama tentang kebolehfungsian dan keselamatan KLIA2," menurutnya, selain berkata AirAsia akan kuasai lebih 80 peratus lalu lintas di KLIA2 yang bernilai RM4 bilion itu.

"Kami merayu campur tangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menyelesaikan isu nasional ini," kata Aireen.

Tidak diketahui sama ada Najib maklum berhubung rayuan itu tetapi dalam satu kenyataan dari Vietnam, Sabtu lalu, Najib berkata AirAsia perlu berpindah ke KLIA2 pada 9 Mei.