Kapten Nik Ahmad Huzlan
SHAH ALAM –  Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang kini tertumpu Lautan Hindi, berdepan cabaran sukar memandangkan situasi lautan itu yang ganas, kata bekas Juruterbang Penerbangan Serantau MAS, Datuk Kapten Nik Ahmad Huzlan Nik Hussein.

Ujarnya, ketinggian ombak yang boleh mencecah 40 kaki dengan angin kuat menambah kesukaran mencari serpihan objek yang dikaitkan dengan MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

Keletihan pihak SAR dan daya ketahanan kapal mampu bertahan dalam misi terbabit perlu diambil kira.

"Mereka keletihan berdiri di tingkap dengan keadaan pesawat bergoyang-goyang. Dari pangkalan ke kawasan itu juga mengambil masa empat jam, ditambah waktu pergi balik menjadi lapan jam.

"Dengan kapasiti minyak yang ada, mungkin ada dua jam sahaja untuk mencari," katanya dipetik dalam wawancara  bersama Astro Awani.

Beliau juga berkata, keadaan matahari di sana yang condong dan mewujudkan bayang-bayang  walaupun di waktu tengah hari merumitkan lagi  pencarian menggunakan mata kasar.

Dalam pada itu, mengulas pendedahan transkrip pesawat didedahkan oleh akhbar Britain, Daily Telegraph, Nik Ahmad Huzlan menganggap ia meragukan dan sebagai bahan jenaka.

Menurut beliau, tiada istilah seumpama itu digunakan oleh juruterbang untuk berkomunikasi dengan menara kawalan kerana terma yang digunakan lebih teratur, tepat, padat dan mengikut perundangan.