Abdul Hadi: Pas kekal bersama PR 
KUALA LUMPUR - Pas tetap akan meneruskan kerjasama dalam Pakatan Rakyat walaupun Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib mencadangkan agar parti itu mengkaji semula tahaaluf siyaasi (kerjasama politik) khususnya dengan PKR.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, hubungan dalam Pakatan Rakyat perlu diteruskan sebagai sistem dua parti dan mengukuhkan lagi kedudukan parti itu di mata rakyat.

"Sehingga kini, kita teruskan kerjasama dengan Pakatan Rakyat sebagai sistem dua parti yang lebih kukuh, lebih baik berbanding pakatan BN.

"Tiada sebab untuk Pas mengkaji semula tahaaluf siyaasi ini," katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan wartawan berhubung kerjasama Pas dalam Pakatan Rakyat, khususnya dengan PKR.

Resolusi Multaqa Ulama Se-Malaysia minggu lalu antara lain mencadangkan supaya tahaaluf siyaasi antara Pas bersama sekutu mereka dalam pakatan pembangkang khususnya PKR disemak semula.

Resolusi itu turut menegaskan, semakan semula hendaklah dilaksanakan oleh Majlis Syura Ulama Pas dan Jawatankuasa Pas Pusat melalui kuasa yang ada bagi menjaga maslahah serta membendung dan menghalang mafsadah syariah.